Tuduh Hakim Dibeli Penghinaan Tertinggi Sistem Kehakiman - MP Tanah Merah

Diterbitkan: Isnin, 16 Mac 2015 11:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan terlalu 'memberi muka' kepada pemimpin pembangkang telah menyebabkan mereka semakin hilang rasa hormat kepada institusi kehakiman negara.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata sikap pembangkang yang menuduh para hakim telah dibeli atau tunduk kepada kehendak politik kerajaan adalah penghinaan tertinggi kepada sistem kehakiman yang bebas dan telus.

Ini kerana, katanya, kes perbicaraan melibatkan anggota Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan telah dibicarakan dengan seadilnya.

"Perlu dilihat (anggota Parlimen) Permatang Pauh sudah diberi peluang dan ruang untuk membela diri termasuk membolehkan pasukan pendakwa raya melakukan pemeriksaan balas tetapi malangnya pilihan itu tidak diambil Permatang Pauh.

"Sebagai seorang yang kononnya mendakwa telah difitnah dan dijebak dalam konspirasi politik, seseorang itu pasti melakukan apa saja bagi membersihkan namanya," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Dewan Rakyat Isnin.

Justeru Ikmal Hisham menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas kepada pemimpin pembangkang yang terus menghina institusi kehakiman dan mempolitikkan keputusan mahkamah.

Dalam pada itu, beliau berkata agensi penguat kuasa perlu mengkaji semula tempoh penempatan pegawai dan anggota di sesebuah kawasan sebagai usaha  memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata penempatan terlalu lama di sesebuah kawasan boleh menyebabkan pegawai dan anggota bertugas menjadi sasaran sindiket untuk dipengaruhi.

Katanya, gesaan supaya kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi perhatian umum dipercepatkan siasatannya dapat mengelakkan tanggapan negatif masyarakat kepada kerajaan.

Dalam pada itu beliau menyarankan Jabatan Perdana Menteri mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengawal sempadan negara untuk mengelakkan berlakunya kerugian besar kepada negara menerusi kegiatan penyeludupan.

Menurut Ikmal Hisham, pasukan petugas khas tersebut perlu terdiri daripada semua agensi penguat kuasa yang berkaitan tetapi diketuai oleh seorang komander.

"Saya percaya dan yakin kewujudan pasukan khas ini mampu mengekang sebarang aktiviti haram di kawasan sempadan dan sekali gus memastikan sempadan kita tidak mudah dibolosi sewenang-wenangnya."

Beliau berkata penubuhan pasukan petugas khas seumpama itu adalah sama seperti yang dilakukan Jabatan Peguam Negara untuk mencegah kegiatan penyeludupan dan penyelewengan.

Berikutan kegiatan sindiket judi haram yang melibatkan bukan saja golongan dewasa tetapi juga golongan belia, Ikmal Hisham turut menyarankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia menerusi kempen di sekolah dan media massa.

Katanya, langkah untuk KDN mewujudkan ganjaran khas kepada mana-mana orang awam yang melaporkan mengenai perjudian haram juga dapat menghalang kumpulan sindiket daripada menjalankan kegiatan mereka.


Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan