Beri Keutamaan Kepada Bantuan Banjir Sebelum Hudud - MP Sepang

Diterbitkan: Isnin, 16 Mac 2015 5:34 PM

Hanipa Maidin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelantan tidak perlu terburu-buru melaksanakan undang-undang syariah kerana ia masih berurusan dengan beberapa perkara, selepas banjir dahsyat melanda negeri itu, kata ahli Parlimen PAS, Isnin.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata, kerajaan Kelantan sebaliknya harus memberi tumpuan kepada usaha-usaha bantuan dan membangunkan semula negeri kerana banjir yang melanda telah mengakibatkan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Walau bagaimanapun, Hanipa, yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata ini tidak bermakna parti itu perlu meninggalkan sama sekali pelaksanaan hukuman mengikut undang-undang Islam itu.

"Kerajaan negeri perlu mencontohi khalifah kedua Islam, Umar ibn al-Khattab, yang menangguhkan pelaksanaan undang-undang syariah Islam disebabkan oleh kemarau yang teruk.

"Walau bagaimanapun, menangguhkan pelaksanaan ini  tidak bermakna bahawa kita meninggalkannya. Ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang kita perlu patuhi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau berkata rakyat Kelantan amat memerlukan infrastruktur asas dan pelaksanaan hudud dalam tempoh ini akan melakarkan imej negatif terhadap kerajaan negeri.

"Apabila kita sedang berusaha melaksanakan hudud, ia memberikan satu persepsi bahawa kita tidak memberi keutamaan kepada perkara-perkara lain. Apatah lagi banjir di Kelantan benar-benar membawa kemusnahan," katanya.

Kerajaan negeri Kelantan dilaporkan merancang untuk membentangkan pindaan kepada enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (ii) Kelantan 1993 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Rabu ini.

DAP, yang menjadi pengkritik lantang kepada pelaksanaan hudud juga menggesa kerajaan negeri mendengarkan permintaan rakyat dengan memberi tumpuan kepada usaha-usaha bantuan banjir.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata ini terbukti dalam kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre, di mana majoriti rakyat di Kelantan mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kepada bantuan banjir dan bukannya hudud.

"Ini adalah masa untuk kerajaan negeri memberi tumpuan kepada isu sebenar yang memberi kesan kepada rakyat ekoran kejadian banjir pada Disember," ahli Parlimen Seremban memberitahu media di lobi Parlimen.

Khamis lepas, Rang Undang-Undang itu dibentangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat buat kali pertama, tetapi DAP masih belum yakin dengan pelan hudud PAS.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata pihaknya hanya akan mengeluarkan respon selepas kerajaan negeri Kelantan berunding dengan sekutunya.

"Kami sedang menunggu mereka kembali dengan maklum balas, harap-harap dalam satu atau dua hari, dan lihat apa keputusan yang mereka akan buat," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan