Kesatuan Umat Islam Kunci Kekuatan Ummah

Diterbitkan: Ahad, 15 Mac 2015 11:26 AM

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

(Ubah saiz teks)

KRABI (Selatan Thai): Kesatuan umat Islam yang merentasi sempadan negara, bangsa, bahasa dan warna kulit merupakan kunci kekuatan ummah, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah Rasulullah SAW sendiri sentiasa memastikan kesatuan umatnya sehingga baginda meleburkan semangat taksub perkauman di kalangan masyarakat Arab di bumi Madinah.

"Hal ini terampil dengan tindakan Rasulullah SAW menyatupadukan dan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar bahkan menitikberatkan hubungan bersama orang bukan Islam," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah merasmikan 'Multaqa Ummatan Wahidah' (Pertemuan Satu Umat) anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Agama Islam (MAI) enam wilayah Andaman Thailand di Krabi Front Bay Resort di sini, Sabtu.

Wilayah terbabit ialah Satun, Trang, Krabi, Phanga, Phuket dan Ranong.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Romli Dai, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Faizal Razali dan Yang Dipertua MAI Wilayah Krabi Asnawi Mukura.

Raja Muda Perlis, yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah pihak berautoriti (yang terlibat dengan Multaqa) dan menetapkan dasar pentadbiran Agama Islam di tempat masing-masing hendaklah memainkan peranan dan memastikan eleman perpaduan di kalangan umat Islam dengan masyarakat tempatan sentiasa terpelihara.

"Hubungan baik dengan bukan Islam dilihat sebagai 'khaira ummah' yang menjadi 'pembawa rahmat keseluruh alam,' titah Tuanku Syed Faizuddin.

Sebelum itu pada sebelah pagi berlangsung bengkel membabitkan ahli-ahli MAI enam wilayah tersebut dan anggota-anggota MAIPs membincangkan isu antaranya pengurusan nikah kahwin, pengesahan halal, permohonan bantuan dan sumbangan, pendidikan, penggunaan bahasa Melayu dan dakwah yang diharap menjadi pemangkin kecemerlangan umat Islam kedua-dua negara.

Mufti Kerajaan Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas Mufti Perlis Dr Juanda Jaya terlibat sebagai panel manakala pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia merangkap ahli MAIPs, Ustaz Nizamuddin Zakaria sebagai moderator.

Tags / Kata Kunci: Perlis , Krabi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan