Perubahan Pucuk Pimpinan PAS Perlu Positif - Salahuddin

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 12:14 PM

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersalaman dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pemilihan PAS kira-kira dua tahun lalu. (gambar fail)

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata kini sudah tiba masanya parti itu melalui perubahan pucuk pimpinan untuk menjadikannya sebuah pertubuhan politik yang matang dalam berdepan pelbagai cabaran semasa.

Menurutnya, perubahan pucuk pimpinan perlu dilihat daripada aspek positif kerana ahli parti semakin berani menyuarakan pandangan serta hasrat mereka.

"Perubahan pucuk pimpinan (menukar presiden) tidak harus menggambarkan ketidakpercayaan kepada parti dan kepimpinan, ia perlu dilihat secara positif.

"Itu suara yang dikemukakan oleh akar umbi yang semakin berani menyuarakan pandangan mereka. Parti ini perlu melalui proses perubahan kerana ia akan mematangkan PAS," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pemimpin PAS yang meminta Datuk Seri Abdul Hadi Awang melepaskan jawatan presiden bagi memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui parti Islam itu.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, perubahan pucuk pimpinan akan menjadi perkara biasa dan biarpun ia harus bermula dengan salah tanggap dan tafsiran daripada sesetengah pihak.

Pada Khamis, Abdul Hadi dilaporkan berkata, beliau sedia dicabar pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada Jun nanti.

Beliau dipetik sebagai berkata, perkara itu selaras dengan Fasal 25 (2) Perlembagaan PAS yang menyatakan jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden hendaklah dipilih dan dilantik pada Muktamar Tahunan PAS setiap dua tahun.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Persoalan tentang jawatan presiden PAS menjadi tumpuan ramai selepas PAS Kota Bharu menyatakan hasrat untuk mencalonkan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mencabar Hadi.

Tuan Ibrahim bagaimanapun menolak pencalonan itu.

Kedudukan Abdul Hadi turut dipersoalkan selepas beliau dilihat tidak mengambil pendirian sama dengan sekutu mereka, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam beberapa isu di peringkat nasional.

Pencalonan peringkat kawasan PAS bagi jawatan peringkat pusat akan ditutup pada 30 April, manakala pemilihan PAS dijadualkan berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun nanti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan