Malaysia, Myanmar Setuju Mansuh Visa Bagi Pegawai Kerajaan, Pelancong Perniagaan

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 7:52 PM

Datuk Seri Anifah Aman

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia dan Myanmar bersetuju pada dasarnya memansuhkan keperluan visa bagi pegawai kerajaan dan pelancong perniagaan untuk memudahkan perjalanan kumpulan ini antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Susulan persetujuan ini, para pegawai kerajaan, mereka yang memegang pasport kerajaan dan kalangan ahli perniagaan yang disahkan oleh Dewan Perniagaan dari kedua-dua negara tidak memerlukan visa.

"Keperluan tanpa visa adalah bersifat timbal-balik," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat delegasi antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Myanmar U Thein Sein di Bangunan Perdana Putra di sini, Jumaat.

Anifah ditanya sama ada isu mengenai keperluan visa untuk perjalanan ke  Myanmar dibincangkan pada mesyuarat Malaysia-Myanmar, yang berlangsung pada hari terakhir lawatan negara dua hari Thein Sein ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Untuk lain-lain, kami akan bekerjasama satu demi satu. Bagi pemegang pasport biasa, kami akan berusaha dan berbincang dengan lebih lanjut dalam masa terdekat," kata Anifah.

Butiran mengenai pemansuhan visa dilaporkan akan diselesaikan oleh pegawai dari kedua-dua negara kemudian.

Menurut laman web www.evisaasia.com yang menyiarkan maklumat mengenai perjalanan ke Asia dan Australia, rakyat Malaysia memerlukan visa untuk melawat Myanmar.

Laman web itu menyatakan pengecualian visa atau perjalanan bebas visa tidak terpakai kepada Malaysia.

Menurut laman web Kedutaan Myanmar di Malaysia, antara visa yang boleh dipohon oleh rakyat Malaysia ke Myanmar ialah visa pelancongan, visa perniagaan, visa pelbagai perjalanan, visa sosial dan visa pengantaraan.

Ketika ditanya mengenai kesukaran mendapatkan visa pelancong ke Myanmar, Anifah berkata menteri pelancongan Malaysia dan Myanmar akan bekerjasama rapat  tentang cara terbaik untuk berusaha bagi mempromosikan pelancongan bukan sahaja antara Malaysia dan Myanmar tetapi juga dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Mengenai isu tenaga pekerja, beliau berkata Malaysia dan Myanmar akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara itu.

"Malaysia dan Myanmar juga akan mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama, yang ditubuhkan pada 2014, dan akan membincangkan semua isu pada Jun," katanya.

Anifah berkata Malaysia dan Myanmar juga membincangkan mengenai kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan dan Myanmar memaklumkan bahawa negara itu memerlukan lebih banyak tempat dalam Program Kerjasama Teknikal  Malaysia (MTCP).


Sejak 1983, Myanmar menjadi negara penerima dengan seramai 1,559 pegawai Myanmar dilatih setakat ini.

"Malaysia akan terus menawarkan tempat kepada mereka (Myanmar)," kata beliau.

Laporan awal menyatakan melalui MTCP, pegawai Myanmar menjalani latihan dalam kursus jangka pendek, sederhana dan panjang di Malaysia mencakupi pelbagai bidang seperti diplomasi, bahasa, perbankan, percukaian, teknologi getah dan kelapa sawit.

Mengenai isu pelarian Rohingya di Malaysia, Anifah berkata perkara itu juga dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

"Perbincangan akan diteruskan dan perkara itu bakal dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa bersama Malaysia-Myanmar pada Jun. Sebab inilah mesyuarat Suruhanjaya Bersama ditubuhkan," katanya.

Berhubung kes pembunuhan melibatkan warga Myanmar di Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan, beliau berkata Perdana Menteri membangkitkan isu itu kepada Presiden Myanmar bahawa selain menawarkan pekerjaan, berlaku juga masalah sosial dan masalah lain seperti keselamatan.

"Ini adalah satu aspek untuk Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri di kedua-dua negara perlu mengkajinya dari semasa ke semasa.

"Kami akan mengkaji cara terbaik untuk menangani keadaan ini," kata beliau.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan