Penuntut USM Yang Maut Di Acheh Anak Harapan Keluarga

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 12:52 AM

Muhammad Izzamir Nabihan

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: "Arwah adalah anak yang menjadi harapan keluarga dan banyak membantu meringankan tanggungjawab ibu bapanya," kata ibu saudara Muhammad Izzamir Nabihan Abdul Majid, penuntut yang maut dalam kemalangan jalan raya di Acheh, Indonesia, Rabu.

Fouziah Omar, 59, berkata anak saudaranya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik sering menghantar wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperoleh beliau kepada ibunya untuk membiayai yuran tuisyen adik-adiknya.

"Arwah tahu ibunya tidak bekerja dan dia akan gunakan sebahagian wang bantuan yang diterima untuk membantu keluarga. Kami semua terkejut namun reda dengan ketentuan takdir," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata anak saudaranya sekeluarga tinggal di Kuala Lumpur dan kali terakhir beliau bertemu dengan arwah ialah ketika mereka pulang berhari raya di Kepala Batas, tahun lepas.

Muhammad Izzamir Nabihan, 23, yang merupakan penuntut tahun akhir Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Universiti Sains Malaysia (USM) itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Masyarakat Geumpang, Acheh setelah bas yang membawa 24 anggota rombongan akademik USM terbabas.

Kemalangan pada pukul 7 malam waktu Acheh itu turut menyebabkan tujuh anggota rombongan yang lain cedera ringan. 

Fouziah berkata ayah Muhammad Izzamir Nabihan iaitu Abdul Majid Abd Gaffor, 50-an belum mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Kami sekeluarga terpaksa merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan adik ipar saya kerana dia kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

"Tahap kesihatan ayah arwah tidak mengizinkan...jadi kami buat keputusan untuk merahsiakan dahulu kejadian yang menimpa anaknya itu. Adik saya Suriati iaitu ibu arwah dan empat anaknya sahaja yang tahu dan mereka dalam perjalanan pulang ke Kepala Batas dari Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata saudara mara di Pulau Pinang membantu untuk menguruskan jenazah Muhammad Izzamir Nabihan yang akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamiul Al Badawi, Kepala Batas.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata jenazah penuntut itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi esok dan akan dibawa terus ke Masjid Jamiul Badawi, Kepala Batas.

Beliau berkata USM juga menghantar beberapa pegawai dan pensyarah untuk membantu penuntut dan pensyarah yang terlibat dalam kemalangan itu sebelum kesemua mereka dibawa pulang ke Pulau Pinang pada Jumaat.

"Alhamdulillah proses membawa pulang jenazah sedang berjalan. Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan polis turut membantu dalam memberikan nasihat kepada keluarga.

"Allahyarham adalah anak seorang pegawai polis dan beliau seorang yang aktif dalam sukan terutamanya ragbi," katanya. 

Omar berkata rombongan yang berlepas ke Acheh pada Ahad lepas (8 Mac) dijangka pulang esok dan ia merupakan program rasmi universiti dalam usaha memberi pendedahan akademik kepada penuntut tahun akhir.

Beliau berkata anggota keluarga pelajar yang terlibat boleh menghubungi Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pembangunan Pelajar Husin Yahya di talian 019-4721159 untuk maklumat lanjut.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan