Kaji Selidik Cuba Lagakan Saya Dengan Pemimpin Umno Lain - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 9:44 PM

hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis berkata satu kaji selidik yang menyebut beliau sebagai bakal perdana menteri merupakan cubaan untuk melaga-lagakannya dengan pemimpin Umno lain.

"Jangan percaya sangat dengan kaji selidik. Kaji selidik serupa diadakan beberapa bulan sebelum ini, ketika perhimpunan agung Umno, (yang menyatakan) saya tidak layak menjadi naib presiden Umno.

"Tetapi, beberapa bulan kemudian, satu lagi kaji selidik dibuat dan menyebut saya bersedia mengambil alih jawatan perdana menteri.
 Itu memberi jawapan tentang tahap kebolehpercayaan saya terhadap kaji selidik. Saya tidak akan melayan perkara seperti ini," kata naib presiden Umno itu kepada pemberita selepas menghadiri sesi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Bersama Menteri di sini.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai kaji selidik Merdeka Centre yang menyebut beliau sebagai calon yang lebih disukai untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Kaji selidik itu menyatakan kebanyakan responden memilih Hishammuddin sebagai perdana menteri berbanding Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, setiausaha agung PKR Rafizi Ramli dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk mengambil alih jawatan perdana menteri apabila tiba masanya kelak, Hishammuddin berkata: "Perkara itu tidak timbul ketika ini. Saya tidak akan layan soalan terutamanya jika ia berdasarkan kaji selidik."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan