LHDN Jangka Empat Juta Pengguna e-Filing Tahun Ini - Berita Semasa | mStar

LHDN Jangka Empat Juta Pengguna e-Filing Tahun Ini

Diterbitkan: Rabu, 11 Mac 2015 8:23 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem e-filing dijangka menerima empat juta pengguna memfailkan pulangan cukai pendapatan pengguna secara dalam talian tahun ini selepas kaedah itu terbukti popular di kalangan pembayar cukai bagi golongan muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, sistem dalam talian itu yang diperkenalkan pada 2006 mendapat sambutan menggalakkan daripada pembayar cukai muda dengan 3.8 juta pengguna pada tahun lepas.

"Kami mensasarkan tiga juta orang menggunakan e-filing tahun lepas tetapi sebaliknya, kami menerima 3.8 juta orang.

"Tahun ini, saya berharap lebih ramai pembayar cukai akan menggunakan sistem ini kerana ia mampu untuk mengira bayaran balik cukai dengan tepat dan penyerahan proses dengan cepat," katanya kepada pemberita.

Mohd Shukor berkata, tempoh penggunaan e-filing juga akan dipanjangkan sehingga ke 15 Mei, bukan seperti tahun sebelum ini hanya sehingga 30 April.

Katanya, pada 2014, LHDN memecah rekod dari segi kutipan yang mana menyaksikan sebanyak RM133.695 bilion iaitu meningkat RM4.633 bilion atau 3.59 peratus berbanding 2013.

"LHDN sentiasa bertimbang rasa kepada pembayar cukai. Kami membenarkan pembayaran dibuat melalui kad kredit yang menjadikannya lebih mudah dilakukan," katanya.

Tags / Kata Kunci: e-filing , LHDN , Dr Mohd Shukor Mahfar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan