KL, Manila Kaji Rondaan Di Laut Sulu - Hishammuddin

Diterbitkan: Rabu, 11 Mac 2015 11:33 PM

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Filipina telah mengkaji kemungkinan menjalankan rondaan yang diselaraskan di perairan Laut Sulu yang memisahkan kedua-dua negara.

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Pertahanan Negara Filipina, Voltaire T. Gazmin di Manila, Rabu.

Kerjasama dalam bidang ini menandakan peningkatan kesedaran bidang maritim ke arah menghalang ancaman bukan tradisional serta isu-isu lain berkaitan keselamatan maritim, kata Hishammuddin.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai hasil lawatan beliau ke Filipina, destinasi akhir lawatannya ke negara-negara ASEAN.

Hishamuddin berkata beliau dan Gazmin juga bersetuju mengenai cadangan penubuhan Pasukan Pengaman ASEAN di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di samping itu, katanya, Gazmin menyatakan sokongan Filipina untuk inisiatif Malaysia untuk Kumpulan Kesiapsiagaan Tentera ASEAN, yang  digerakkan bagi usaha-usaha berkaitan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

"Kumpulan ini penting untuk menyediakan pasukan tentera ASEAN bagi penghantaran segera ke kawasan krisis secara penyelarasan," kata Hishammuddin yang juga mengunjungi Presiden Benigno Aquino III.

Beliau menyatakan bahawa kumpulan itu boleh berkhidmat di bawah panji-panji ASEAN sebagai mekanisme pencegahan dalam mengurangkan risiko bencana.

Hishammuddin berkata beliau dan rakan sejawatannya dari Filipina itu membincangkan hasrat mereka untuk meningkatkan kerjasama industri pertahanan dengan menggalakkan kerjasama industri dan memudahkan pembangunan teknologi, perdagangan dan hubungan ekonomi antara syarikat-syarikat berkaitan pertahanan dari kedua-dua negara.

"Kami bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau dan global dan komited untuk memperkukuh kerjasama pertahanan antara Filipina dan Malaysia," kata beliau.

Hishammuddin berkata mereka turut menekankan tentang pentingnya usaha ke arah memupuk keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

Kedua-dua pihak juga melahirkan kebimbangan serius mengenai keganasan yang dilakukan oleh apa yang dipanggil kumpulan militan Negara Islam (IS) dan pertubuhan ekstremis lain di Iraq dan Syria.

Mengenai pertemuan beliau dengan Presiden Aquino, Hishammuddin berkata mereka bersetuju tentang perlunya untuk meningkatkan hubungan dua hala, baik di peringkat kerajaan mahupun hubungan rakyat dengan rakyat.

Beliau berkata, Aquino telah menarik perhatian tentang peranan Malaysia sebagai fasilitator pihak ketiga, dengan mengepalai Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) di Mindanao sejak 2001.

"Presiden menyatakan hasrat untuk menyaksikan perkembangan positif hasil daripada proses damai yang dijalankan (di selatan Filipina)," kata beliau.

Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian damai diusahakan Malaysia yang dijangka menamatkan konflik bersenjata yang berlarutan selama beberapa dekad di Mindanao, pada Mac 2014.

Hishammuddin juga melawat ibu pejabat IMT di Bandaraya Cotabato dan mengulangi sokongan Malaysia yang berterusan untuk proses damai antara krajaan Filipina dan MILF.

"Ketibaan pasukan baharu IMT, ke-10 dalam siri bersama mandat baharu dari Mac 2015 hingga Mac 2016 adalah bukti bahawa Malaysia tetap komited untuk mencari penyelesaian yang berkekalan di Mindanao," katanya.

IMT pada masa ini terdiri daripada 16 anggota dari Malaysia, Brunei Darussalam (9), Indonesia (9), Jepun (2) dan Norway (2).

Pasukan itu bertanggungjawab bagi isu-isu berkaitan keselamatan, sosio ekonomi, melindungi orang awam dan pembangunan pemulihan kemanusiaan.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan