Memori MH370: Nota Pengubat Rindu Buat Papa - Iman

Diterbitkan: Ahad, 8 Mac 2015 7:00 AM

Iman masih tertanya-tanya mengenai papanya. - foto ehsan Intan Maizura Othaman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setiap malam sebelum tidur, Iman, anak sulung kepada pramugara pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan akan menulis nota kepada bapanya.

Perbuatan itu bukan baharu dimulakan tetapi hampir genap setahun sejak pesawat membawa 239 penumpang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Apakah beratus-ratus nota itu dapat diserahkan kepada bapanya yang telah diisytiharkan terkorban oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 29 Januari lalu?

Segalanya masih menjadi tanda tanya buat kanak-kanak itu sehingga dia mampu menerima hakikat mengenai nasib ayahnya.

Malah menerusi perbualan dengan isteri kru terbabit, Intan Maizura Othaman baru-baru ini, wanita tabah ini memberitahu Iman masih lagi dengan rutin hariannya menulis nota-nota kecil untuk bapanya setiap malam sebelum tidur.

"Ya, dia masih lagi buat begitu. Maaflah, saya tak boleh nak komen banyak, emosi saya terganggu sekarang," katanya dalam nada sebak ketika dihubungi mStar Online.

Intan bersama Iman dan Muhammad. - foto SAM THAM/The Star.


Dalam temu bual bersama mStar Online beberapa bulan lalu, Intan memberitahu Iman akan menulis sesuatu kepada papanya dan meletakkan kertas itu di dalam sebuah kotak kecil sebelum tidur. 

"Dia kata mahu tunjuk kepada papanya apabila bertemu di syurga nanti. Ia membuatkan saya terdiam seketika lalu menitiskan air mata," kata Intan.

Menjelang setahun kehilangan pesawat tersebut, isteri pramugara itu, Intan memuat naik gambar Iman yang memegang sekeping lukisan kapal terbang yang tertera perkataan 'I Miss Papa'... 'Iman Miss Papa'.

Dalam gambar tersebut turut ditulis perkataan Papa, Iman, Baby M dan Mamy.

Bagi kanak-kanak kecil ini yang masih belum mengerti apa-apa, lukisan tersebut mampu menjelaskan kepada dunia mengenai perasaannya ketika ini.

Lebih memilukan, Intan turut memuat naik gambar Iman tidur dengan memakai baju papanya.

"'Ritual' Iman setiap malam... tidur dengan baju papa... bercakap dengan papanya. Saya menangis setiap malam disebabkan ini," tulis Intan dalam IG miliknya beberapa minggu lalu.


Intan Maizura tidak dapat menahan sebak ketika membicarakan mengenai suaminya.



Kehilangan Mohd Hazrin sehingga hari ini masih menjadi igauan ngeri buat isterinya yang tabah membesarkan dua anak mereka yang masih kecil.

Sejak akhir-akhir ini, Intan dilihat sering memuat naik gambar suami tercinta dan laman media sosial itu menjadi tempat dia meluahkan perasaannya.

"Hi sayang, saya sebenarnya amat merindui awak," tulis Intan di dalam sekeping gambar suaminya itu.

Di dalam gambar tersebut juga, Intan memberitahu bahawa Iman menyuruhnya untuk memasukkan telefon bimbit lama milik Mohd Hazrin ke dalam beg plastik untuk dibawa bertemu dengannya di syurga.

Mohd Hazrin, antara salah seorang kru pesawat MH370.


"Saya baharu sahaja berbual dengan Iman. Dia mahu bawa telefon bimbit lama awak ke syurga (dia dah masukkan ke dalam beg plastik) dan suruh saya ikat beg plastik itu. Dia tidak sabar untuk bertemu dengan awak di syurga. 

"Kini tarikh itu semakin hampir, dia sentiasa menangis setiap kali hendak tidur, dia sentiasa beritahu 'Iman rindu papa'... terlalu lama sejak awak pergi... hampir setahun... awak tidak pernah pergi begitu lama.. terlalu lama untuknya begitu juga saya," tulis Intan.

Selain Iman, Mohd Hazrin turut meninggalkan seorang anak lelaki, Muhammad yang kini berusia 10 bulan.

Muhammad masih belum sempat bertemu dengan papanya sejak dilahirkan pada Mei tahun lalu.

Muhammad, anak kedua Mohd Hazrin. - foto ehsan Intan Maizura Othaman.

Sementara itu, kakak kepada Mohd Hazrin, Rina Mohamed Hasnan menegaskan beliau tidak akan berputus-asa untuk menuntut keadilan demi adiknya itu.

"Sebagai seorang yang beragama Islam, saya reda dengan ketentuan Ilahi bahawa sudah tertulis adik saya berada di dalam pesawat tersebut. Namun, saya tidak akan berhenti menuntut keadilan untuk Rain," kata ibu kepada seorang anak itu.

Jelas Rina, ahli keluarga mereka akan tetap menuntut bukti pesawat tersebut yang diisytiharkan kemalangan.

"Tidak kira berapa lama, kami akan terus menunggu. Tidak cukup sekadar dengan pengumuman bahawa pesawat itu diisytiharkan kemalangan, kami mahu bukti yang kukuh," katanya.

Menurut Rina, sempena memperingati genap setahun pemergian adiknya, mereka sekeluarga akan mengadakan bacaan surah Yasin di kediaman Intan pada Sabtu malam.

Ketika ditanya mengenai spekulasi operasi pencarian pesawat tersebut akan dihentikan pada Mei ini, Rina berkata dia berharap agar kerajaan berpegang kepada janji terhadap waris keluarga penumpang sebelum ini.

"Saya tidak mahu kes tragedi pesawat itu ditutup begitu sahaja. Saya mahu MH370 tidak dilupakan... tunaikanlah janji anda kepada semua waris penumpang," katanya.




















iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan