Langkah Wajar Diambil Pastikan Tiada Catuan Air Tahun Ini - Azmin

Diterbitkan: Ahad, 8 Mac 2015 2:57 PM

Azmin Ali

Mohamed Azmin Ali.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sedang mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memastikan tiada catuan air berlaku di negeri ini seperti tahun lepas, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Katanya, usaha penguatkuasaan juga ditingkatkan bagi menangani isu pencemaran sumber air terutamanya sungai-sungai bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi kegunaan pengguna.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor meningkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa di kawasan yang berisiko terutamanya Sungai Semenyih yang selalu mengalami masalah pencemaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Maraton Wanita Malaysia di sini Ahad.

Sebanyak 4,000 peserta menyertai maraton berkenaan yang dianjurkan buat kali ketiga itu.

Pada Sabtu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib dalam kenyataannya berkata Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa menghentikan operasi kira-kira empat jam kerana peningkatan kadar pencemaran ammonia di sungai itu.

Sementara itu, mengulas mengenai pembatalan pembinaan projek Lebuhraya Damansara-Kinrara (Kidex), Azmin berkata, satu pertemuan di antara beliau dan Kementerian Kerja Raya akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, perjumpaan itu dijangka membincangkan isu-isu pembangunan infrastruktur awam di Selangor.
Tags / Kata Kunci: Mohamed Azmin Ali , catuan air

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan