Kerajaan Akan Perbanyakkan Rumah Mampu Milik Di Seluruh Negara - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 7 Mac 2015 3:32 PM

Najib melihat pemandangan di kawasan perumahan PR1MA dari tingkat 11 selepas menyerahkan kunci kepada pemilik di Precint 11, Putrajaya. Turut hadir, Pengerusi Putrajaya Holding Berhad Tan Sri Aseh Che Mat.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperbanyakkan pembinaan projek rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara termasuk di Putrajaya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ia merupakan permintaan utama setiap keluarga dan individu yang tinggal di kawasan bandar untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Katanya, perumahan PR1MA itu merupakan bukti janji ditepati oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional dalam membela nasib rakyat.

"Kerajaan amat komited dalam agenda membina rumah mampu milik kepada rakyat.

Saya berharap orang ramai dapat memahami pembinaan rumah seperti ini akan mengambil masa," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Replika PR1MA di Presint 11 di sini, Sabtu.

Tapak pertama projek PR1MA di Presint 11 akan dimajukan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dengan menyediakan 560 unit rumah dengan keluasan antara 815 kaki persegi (kps) hingga 1,006 kps di tapak seluas 1.9 hektar, lengkap dengan kemudahan dewan serba guna, taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (tadika), surau dan tapak perniagaan serta kedai.

Tambah Najib, harga kediaman PR1MA ini adalah lebih rendah daripada harga pasaran iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran di luar.

"Sebuah unit rumah dengan keluasan antara 815 kaki persegi (kps) yang dijual pada harga RM120,000 dan 1000 kps pada harga RM150,000 masing-masing adalah 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

"Ini bererti bahawa sebaik sahaja pemilik dapat rumah, mereka sudah mendapat untung. Kalau dalam masa lima tahun akan datang, kadar kenaikan jauh lebih tinggi ikut kadar pasaran," katanya.

Dalam Bajet 2015, kerajaan meletakkan sasaran untuk membina 80,000 rumah PR1MA di seluruh negara dengan peruntukkan RM1.3 bilion.

"Saya difahamkan bilangan yang memohon untuk kediaman PR1MA adalah tujuh kali ganda daripada jumlah rumah yang disediakan. Oleh itu, saya menyambut baik saranan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memperbanyakkan rumah mampu milik di kawasan Putrajaya," katanya.

Perdana Menteri berkata, mengikut perancangan, Putrajaya akan mempunyai 67,186 unit rumah pada masa akan datang.

PR1MA ini ditujukan khusus kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan sederhana dengan keutamaan diberikan kepada pegawai sokongan kerajaan dan pesara.

Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi tetapi untuk projek fasa pertama di Presint 11 ini, harga seunit bermula daripada RM120,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan