'Semak Syarat' Bantu Pelajar Pilih Kursus Sesuai Di IPTA

Diterbitkan: Jumaat, 6 Mac 2015 9:14 AM

P Kamalanathan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Unit Pusat Universiti (UPU) di Kementerian Pendidikan memperkenalkan satu sistem baharu sebagai usaha untuk mengurangkan bilangan lepasan sekolah yang tidak berpuas hati apabila gagal memperoleh kursus pilihan mereka di universiti tempatan.  

Pelajar lepasan sekolah kini boleh memasukkan maklumat mereka dan sistem tersebut akan menunjukkan kursus yang layak mereka ikuti dan mungkin membolehkan mereka diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata sistem tersebut diwujudkan untuk mengurangkan ketidakpuasan hati dikalangan pemohon yang gagal memperoleh kursus pilihan mereka apabila sekadar hanya memenuhi kelayakan minimum.

"Pemohon perlu menyediakan nama penuh, nombor kad pengenalan, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) dan sistem tersebut akan mencadangkan satu senarai universiti tempatan dan kursus yang layak untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sekretariat khas untuk menyediakan panduan khas kepada pelajar lepasan SPM dan STPM berhubung pilihan pengajian bagi masa depan mereka.

Beliau menegaskan pelajar lepasan sekolah perlu mengikuti langkah-langkah ini sebelum mereka boleh memasuki kursus pilihan mereka di UPU.

Sistem tersebut yang dikenali sebagai Semak Syarat boleh didapati di http://upu.moe.gov.my.

Walaupun pemohon memenuhi kelayakan minimum sesuatu kursus, beliau berkata tiada jaminan mereka akan mendapat tempat kerana kemungkinan terdapat pemohon lain dengan PNGK yang lebih tinggi.

Mengambil contoh pada tahun lalu, Kamalanathan berkata terdapat pemohon dengan PNGK 2.1 yang mendapat tempat di sebuah universiti awam kerana dia memohon kursus mengikut kelayakannya.

"Terdapat pemohon lain yang memperoleh PNGK 3.0 tetapi tidak mendapat sebarang tawaran kerana dia hanya memilih kursus popular.

"Inilah sebabnya mengapa sistem tersebut diwujudkan yang akan membantu pemohon untuk memilih kursus yang sesuai," kata Kamalanathan.

Beliau menggesa pelajar lepasan SPM dan STPM untuk berhati-hati dalam memilih kursus pilihan mereka untuk mengelakkan kekecewaan.

Bagi mereka yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, Kamalanathan berkata mereka masih boleh memohon di institusi lain seperti kolej komuniti dan politeknik.

Dalam perkembangan berasingan, Kamalanathan berkata beliau telah berbincang isu tersebut dengan ibu bapa di Selangor yang tidak dapat mendaftarkan anak-anak mereka untuk memasuki Tahun Satu pada 2017.

Mereka hanya boleh berbuat demikian setahun sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan.

"Saya harap isu tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh sehari dua lagi," katanya.
Tags / Kata Kunci: UPU , IPTA , P Kamalanathan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan