Audit Telus, Bebas Dan Menyeluruh Penting Untuk Bersihkan Imej 1MDB - Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 6 Mac 2015 10:07 PM

Muhyiddin Yassin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh terhadap akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) penting untuk membersihkan nama syarikat dana pelaburan milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, audit forensik juga hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB seterusnya memulihkan reputasi dan mengembalikan keyakinan pelabur terhadap syarikat itu.

"Saya berpandangan Ketua Audit Negara wajar mengaudit akaun 1MDB secara telus, bebas dan menyeluruh dengan meneliti akaun 1MDB sejak awal penubuhannya.

"Ini kerana beberapa tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu adalah berhubung urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit oleh firma Deloitte.

Ini termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dalam usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Muhyiddin mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengarahkan Ketua Audit Negara untuk meneliti secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu lalu, laporan Ketua Audit Negara itu kemudian akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Kabinet sebelum itu telah memanggil 1MDB dan juru audit mereka, Deloitte berikutan laporan media baru-baru ini berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.

Sambil menyambut baik arahan Najib itu, Muhyiddin berkata oleh kerana dakwaan terhadap 1MDB melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks serta menyentuh kepentingan negara dan kerajaan, Ketua Audit Negara mestilah diberikan sokongan sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk menyiapkan satu laporan lengkap dan komprehensif.

Katanya, pada masa yang sama Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara juga boleh memulakan siasatannya sendiri tanpa perlu menunggu Laporan Ketua Audit Negara siap.

Selain itu, Muhyiddin berkata 1MDB juga perlu memandang serius semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutama di media sosial dan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang melemparkan tuduhan tidak berasas.

"Lembaga Pengarah 1MDB juga perlu mengambil tanggungjawab bersama dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kecuaian atau penyelewengan dalam urusniaga 1MDB," katanya.

Katanya, Lembaga Pengarah juga perlu memberikan penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

"Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX dan Bandar Malaysia yang diperoleh pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam," katanya.

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Muhyiddin Yassin , audit

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan