Suspek Pengganas Boleh Ditahan Hingga 4 Tahun Di Bawah Akta Baharu

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2015 5:42 PM

Ahmad Zahid beramah mesra bersama sebahagian anggota Imigresen dan agensi yang terlibat selepas Majlis Apresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada Khamis. Turut sama Ketua Pengarah JPAM, Datuk Zaitun Ab Samad (dua kanan). -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bulan ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata akta baharu itu nanti merupakan undang-undang pencegahan daripada berlakunya sesuatu keganasan dan anggota IS rakyat Malaysia atau negara lain yang datang ke negara ini akan diambil tindakan melalui POTA.

"Semalam Kabinet telah mendengar pembentangan draf rang undang-undang ini daripada Peguam Negara dan minggu depan ia (draf) akan dimuktamadkan sebelum saya membuat pembentangan di Dewan Rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan rakyat negara ini dalam kumpulan IS di Syria dan yang terbaru dua militan IS Malaysia dikesan terlibat dalam rakaman video penyembelihan rakyat Syria di negara bergolak tersebut.

Akhbar melaporkan video berdurasi 30 saat itu dipercayai dirakam oleh rakyat negara ini yang dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Mohd Faris Anuar, 20, berasal dari Gurun, Kedah. Turut berada dalam rakaman tersebut ialah rakannya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dari Durian Tunggal, Melaka.

Ahmad Zahid berkata POTA akan memperkasakan lagi undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 walaupun SOSMA dan POCA bukan undang-undang khas untuk pencegahan keganasan.

"Kami sedang meneliti kesahihan video berkenaan kerana saya sendiri melihat wajah itu memang wajah orang Melayu dan unit anti keganasan PDRM dengan kerjasama Interpol sedang membuat penelitian sepenuhnya terhadap video berkenaan dan pasti ada tindakan bukan sekadar melalui undang-undang sedia ada seperti POCA, SOSMA dan Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata di bawah POTA, sebagai langkah pencegahan dan pemulihan, mereka yang disyaki terlibat boleh ditahan selama dua tahun dan tempoh  penahanan itu boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi bergantung kepada jenis kes.

Katanya undang-undang bagi menangani ancaman keganasan ini perlu disokong oleh semua pihak termasuk semua anggota Parlimen apabila ia dibentang di Parlimen nanti kerana ia bukan mengantikan mana-mana undang-undang sedia ada.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata JPAM yang kini mempunyai anggota tetap dan sukarelawan berjumlah lebih 800,000 orang di seluruh negara bersiapsiaga menghadapi bencana alam termasuk banjir.

Beliau berkata JPAM menyasarkan anggota tetap dan sukarelawan sehingga satu juta orang dalam tempoh dua tahun lagi dan peralatan serta jentera untuk kegunaan jabatan itu akan ditambah supaya tugas mereka lebih berkesan.

Beliau turut memuji keberkesanan tugas yang dilakukan oleh JPAM dalam operasi membantu mangsa banjir hujung tahun lepas dan kerja pemulihan pasca banjir sekarang.

Ahmad Zahid turut melancarkan 12 buah motosikal lasak berkuasa tinggi untuk kegunaan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan