PDRM Rangka Dasar Baharu Penempatan Anggota Di Sempadan

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2015 12:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merangka dasar baharu berhubung tempoh penempatan pegawai dan anggotanya yang bertugas di sempadan negara dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata penstrukturan semula itu perlu untuk memantau rapi pasukannya di masa depan.

"Anggota yang bertugas di sempadan dan di kawasan sensitif ini tidak boleh dibiarkan lama...kalau lama, mungkin sindiket berkepentingan akan mengambil kesempatan.

"Bagi mengatasi godaan mereka (anggota polis) dengan sindiket ini di sempadan, kami akan rangka dasar baharu untuk mengehadkan tempoh penugasan mereka di sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Polis Kedah yang mahu menstruktur semula anggota yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelak berlakunya salah guna kuasa dalam melindungi kegiatan penyeludupan minyak petrol dan diesel.

"Penstrukturan tersebut adalah relevan bagi mengelakkan sebarang perbuatan tidak bermoral dan melanggar integriti PDRM," kata Noor Rashid.

Selasa lepas, 11 anggota polis ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes penyeludupan minyak petrol dan diesel di sempadan Malaysia-Thailand, menjadikan keseluruhan tangkapan sejak Isnin adalah 26 anggota, termasuk seorang bekas Komander Unit Pencegahan Penyeludupan Bukit Kayu Hitam dan dua orang awam. 

Tags / Kata Kunci: PDRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan