Kerajaan Yakin Caj Khidmat Telekomunikasi Dapat Diturunkan - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Isnin, 2 Mac 2015 3:46 PM

Ahmad Shabery menunjukkan cara penggunaan telefon pintar kepada golongan wanita yang menerima pakej telefonita selepas merasmikan pada Majlis Penghakupayaan Usahawan Wanita Merentasi Dunia Baru di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Isnin.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan yakin caj perkhidmatan telekomunikasi yang dikenakan kepada pengguna dapat diturunkan pada masa depan berikutan pembinaan infrastruktur yang baik di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengadakan rundingan dan dialog dengan syarikat telekomunikasi (Telco) bagi mengkaji masalah berbangkit yang menghalang mereka menawarkan perkhidmatan pada harga murah.

"Adakah kerana sistem cukai, dasar atau lesen kita ke...kerana selama ini kita menganggap Malaysia adalah antara negara termurah lesen yang mereka perlu bayar. Jadi, apa dia sebab-sebab lain yang tidak membolehkan mereka (syarikat Telco) menurunkan harganya.

"Kita bukan sahaja nak bandingkan dengan Thailand, malah dengan Amerika, Eropah, Jepun dan Korea yang akhirnya kita mahukan Malaysia menjadi negara yang lebih murah dan mutunya lebih baik daripada negara yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Penghakupayaan Usahawan Wanita Merentasi Dunia Baharu, di sini, Isnin.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan dalam membantu syarikat-syarikat Telco berkenaan memberi perkhidmatan terbaik termasuk dengan tidak mengenakan syarat ketat terutama membabitkan pembinaan menara telekomunikasi.

Ahmad Shabery berkata, syarat dan peraturan yang ketat dikenakan oleh PBT akan mengakibatkan peningkatan kos kepada syarikat Telco terbabit sekali gus menyekat mereka daripada memberi perkhidmatan terbaik dan murah kepada pengguna.

"Kalau dilihat model yang diguna negara maju tarikan itu mesti datang daripada kerajaan tempatan kerana kerajaan tempatan akan bertanding dengan negeri lain," katanya.

Justeru beliau berkata, kerjasama erat antara PBT dan syarikat Telco perlu dalam menyelaraskan isu-isu berbangkit supaya matlamat dapat dicapai secara bersama. 


Tags / Kata Kunci: Ahmad Shabery Cheek , Telco

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan