Bayar Cukai Pendapatan Guna Kad Kredit, Debit - Berita Semasa | mStar

Bayar Cukai Pendapatan Guna Kad Kredit, Debit

Diterbitkan: Isnin, 2 Mac 2015 2:26 PM

Ahmad bersalaman dengan Aznil Nawawi selepas diumumkan sebagai Ikon Cinta Malaysia LHDN.

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Pembayar cukai kini boleh membayar cukai pendapatan menggunakan kad kredit dan kad debit Visa, MasterCard dan American Express yang dikeluarkan institusi perbankan di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kaedah baharu pembayaran cukai tersebut boleh dilakukan menerusi portal Bayar Hasil yang disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu https://byrhasil.hasil.gov.my/.

Ini adalah inisiatif terkini LHDN dengan kerjasama Maybank bagi memastikan urusan pembayaran cukai lebih mudah dan pantas, katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif itu bersempena Sambutan Hari Hasil ke-19 di Menara Hasil di sini, Isnin.

Pada majlis sama, selebriti terkenal, Datuk Aznil Nawawi diumumkan sebagai Ikon Cinta Malaysia LHDN.

"Ini dapat memberikan lebih keselesaan kepada pembayar cukai yang sebelum ini dilakukan secara tunai di kaunter, Mesin Deposit Tunai (CDM) serta perbankan internet," katanya.

Melalui kaedah itu, katanya, LHDN menyasarkan bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian akan meningkat kepada 25 peratus pada tahun ini berbanding 13.12 peratus daripada 7.53 juta transaksi bayaran cukai direkodkan tahun lepas.

"Melalui kaedah kutipan cukai kreatif sebegini, kerajaan juga yakin sasaran kutipan langsung sebanyak RM142.646 bilion mampu dicapai meskipun berhadapan dengan cabaran termasuk kejatuhan harga minyak dunia yang dijangka merosotkan kutipan cukai daripada sektor minyak mentah " katanya.

Pada tahun lepas, LHDN mencatatkan kutipan sebanyak RM133.694 bilion, meningkat 3.6 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

Tags / Kata Kunci: cukai , LHDN , kad kredit , Ahmad Maslan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan