Urusan Wang Tunai di Kaunter Imigresen Akan Ditamatkan

Diterbitkan: Sabtu, 28 Februari 2015 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

Eksklusif

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen akan menghapuskan semua urusan wang tunai (cash dealing) di kaunter menjelang akhir tahun ini sebagai salah satu usaha memperkasakan integriti jabatan itu.

Ia seiring dengan matlamat menjadikan Jabatan Imigresen sebagai sebuah jabatan mesra pelanggan dengan moto “Mudah, Cepat dan Berintegriti”.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, sebagai ganti, semua urusan wang tunai akan dibuat melalui sistem dalam talian.

Ia kata Mustafa, bukan sahaja merupakan kaedah terbaik bagi mencapai hasrat “Mudah, Cepat dan Berintegriti” malah memudahkan pelanggan untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen tanpa sebarang persepsi negatif.

Mustafa Ibrahim
Mustafa Ibrahim. Foto RAJA FAISAL HISHAN / THE STAR

Menurut Mustafa, isu integriti sering ditimbulkan oleh masyarakat sehingga memberikan persepsi negatif terhadap jabatan itu.

Beliau mengakui wujud masalah integriti di dalam jabatannya tetapi ia hanya melibatkan sejumlah kecil pegawai yang merosakkan nama baik imigresen.

Sebagai contoh hanya lapan daripada 13,000 pegawai imigresen ditahan kerana terbabit dengan kes rasuah bagi penjualan Pas Lawatan Sosial (PLS) kepada warga asing di Sabah baru-baru ini tetapi ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

“Oleh yang demikian, Jabatan Imigresen berhasrat untuk menghapuskan urusan wang tunai di kaunter imigresen menjelang akhir tahun ini di mana ia bukan sahaja dapat menghapuskan tuduhan amalan rasuah malah mengukuhkan soal integriti pegawai dan jabatan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” kata Mustafa dalam satu temuramah eksklusif dengan  mStar Online.


Antara lain, urusan-urusan yang menggunakan transisi wang tunai di kaunter adalah permohonan dan pembaharuan pasport, urusan permit dan visa pekerja asing, pas ekspatriat, pas penduduk tetap, pas sempadan dan pas pelajar asing.

Penekanan kepada aspek integriti menerusi penambahbaikan perkhidmatan merupakan salah satu daripada enam strategi utama di bawah misi yang dibawakan oleh Mustafa sebagai ketua pengarah Imigresen yang baru. Mustafa dilantik ke jawatan itu pada 17 November tahun lalu.

Jelas Mustafa lagi, apabila sistem pembayaran dalam talian ini diperkenalkan, ia akan lebih memudahkan pelanggan membuat urusan imigresen tanpa perlu bersesak di kaunter atau terpaksa datang awal untuk mendapatkan nombor giliran dan mengelakkan kejadian ditipu ejen atau orang tengah.

Mustafa menegaskan misi menghapuskan urusan wang tunai di kaunter akan dibuat secara berperingkat dengan memastikan kelancaran sistem dalam talian terlebih dahulu sebelum ia boleh dikuatkuasakan kepada semua urusan imigresen seperti permohonan visa dan pasport.

Jabatan Imigresen kini telah melaksanakan proses memperbaharui Pas Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing menerusi sistem dalam talian MyEG Services Bhd (MyEG) yang dikuatkuasakan sejak 5 Januari lalu, manakala permohonan melibatkan ekspatriat juga telah disediakan secara dalam talian sebagai pilihan.

Mustafa berkata, selain pembayaran menerusi dalam talian,  bayaran juga boleh dibuat menggunakan draf bank bagi semua caj.

Ia sudahpun dilaksanakan pada masa ini tetapi hanya sebahagian kecil pelanggan yang melakukannya berikutan tiada syarat wajib untuk berbuat demikian.

Katanya lagi, sekiranya kaedah draf bank dikuatkuasakan, setiap butiran permohonan beserta caj yang dikenakan akan dipaparkan di dalam laman web jabatan itu bagi memudahkan pelanggan.

Bagaimanapun Mustafa berkata, sekiranya sistem dalam talian tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini seperti yang disasarkan, penggunaan mesin layan diri (vending machine) merupakan alternatif terakhir bagi menghapuskan urusan wang tunai dengan menyediakan mesin khas di setiap pejabat imigresen untuk urusan pembayaran bagi sesuatu permohonan.

Beliau menambah, mesin tersebut akan menyenaraikan butiran dan caj bagi setiap urusan imigresen dan selepas membuat bayaran, pelanggan akan menerima resit dan mengemukakannya sebagai bukti bayaran ketika berurusan di kaunter.

“Vending machine ini mungkin melibatkan kos yang besar tetapi kita tidak akan membebankan pelanggan dengan penyediaan kemudahan itu,” katanya.

Bagaimanapun menurut Mustafa,  penggunaan draf bank dan mesin layan diri tidak membantu memudahkan pelanggan kerana mereka masih perlu berurusan di kaunter.

“Oleh itu, perkhidmatan dalam talian adalah langkah terbaik untuk kepentingan bersama dari segi pengukuhan integriti dan menyediakan perkhidmatan lebih mudah dan pantas kepada pelanggan.

“Jika kita menguatkuasakan kaedah draf bank atau menyediakan mesin layan diri, kita masih mahu memastikan sistem dalam talian dapat dilaksanakan dengan lancar bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan urusan wang tunai di kaunter dicapai,” kata Mustafa.

Tags / Kata Kunci: imigresen , Mustafa Ibrahim , PLS

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Isnin, 14 Ogos 2017 12:30 PM

“Mira Filzah Lemah Lembut” - Zizan Razak

Kolumnis

iklan

Iklan