Istanbul Imbau Kenangan Terakhir Bersama Juruterbang MH17

Diterbitkan: Jumaat, 27 Februari 2015 7:00 AM

Kenangan Mariyam (kiri) dan suami, Allahyarham Kapten Wan Amran di depan Blue Mosque (Masjid Biru) sewaktu bercuti bersama keluarga di Istanbul, Turki pada November 2013. Ia merupakan percutian ke luar negara yang terakhir buat keluarga empat beranak itu sebelum nahas MH17. Foto ihsan Mariyam Yusoff

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Percutian bersama suami di Istanbul sebelum nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 membuatkan isteri kepada juruterbang Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin kembali ke Turki bagi mengimbau kenangan terakhir itu.

Kunjungan ke Istanbul itu menggunakan tiket penerbangan percuma suaminya, sebagai sebahagian keistimewaan atau faedah kru yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara itu.


Mariyam Yusoff yang baharu sahaja pulang ke tanah air pada Selasa lalu berkata, beliau melawat negara itu bersama dua anaknya, Wan Yunus Uzair, 12, dan Wan Yusuf Irfan, 10 serta rakan sekerjanya sebelum beliau menjadi suri rumah sepenuh masa beberapa tahun lalu.

Menurutnya, arwah suami membawanya dan anak-anak ke Istanbul pada November 2013 dan ia merupakan percutian ke luar negara yang terakhir buat keluarga empat beranak itu.

“Ia adalah tiket yang saya masih boleh gunakan sebagai faedah kepada pasangan dan anak-anak kru MAS. Saya pilih untuk kembali ke Turki untuk mengimbau kenangan terakhir kami anak-beranak bersama arwah di sana terutama di Istanbul,” katanya kepada mStar Online sambil menambah kunjungan selama sembilan hari itu turut melibatkan tempat-tempat lain di Turki seperti Pamukkale, Ankara, Bursa dan Cappadocia.

Rombongan yang disertai Mariyam dan anak-anaknya bersama beberapa kenalan ke Turki baru-baru ini.

Mariyam berkata, pada 2014 mereka tidak bercuti ke mana-mana bagi memberi ruang kepada suaminya yang mendapat peluang untuk menunaikan Haji pada tahun yang sama.

“Tetapi arwah ada merancang untuk membawa kami bercuti ke Dubai pada Disember tahun lepas selepas mengerjakan haji di antara September dan Oktober. Bagaimanapun arwah terbabit dalam insiden pada Julai. Saya redha dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Hasrat arwah untuk menunaikan haji bagaimanapun disempurnakan oleh Tabung Haji yang telah melaksanakan badal haji terhadap sepuluh kru MH17 pada musim haji Oktober tahun lalu.

Mengenai percutiannya di Turki baru-baru ini, Mariyam mengucapkan kesyukuran di atas peluang yang diberikan kepadanya bersama anak-anak untuk mengenang saat yang pernah dilalui bersama arwah selepas lebih tujuh bulan pemergiannya.

“Saya bersyukur berpeluang ke sini (Turki) lagi. Banyak kenangan manis kami bersama arwah terutama di masjid Haghia Sophia (Aya Sofia) dan Blue Mosque (Masjid Biru). Alhamdulillah,” katanya yang merujuk kepada dua mercu tanda terkenal di Istanbul.

Antara posting Mariyam di akaun Facebooknya pada Khamis yang berkongsi perasaan sedih mengenangkan saat bersama arwah suaminya. 

Menurut Mariyam, beliau bagaimanapun sedikit terkilan kerana banyak gambar mereka berempat sewaktu bercuti di Turki pada November 2013 tidak sempat dipindahkan daripada telefon bimbit suaminya.

"Kebanyakan gambar di dalam telefon saya hanya bertiga sebab salah seorang akan mengambil gambar tetapi banyak gambar kami berempat ada di telefon yang dibawa arwah semasa insiden berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Mariyam berkata, beliau difahamkan tiket yang digunakan itu adalah yang terakhir daripada faedah yang dinikmati suaminya sebagai kru MAS.

Bagaimanapun katanya, Allahyarham Kapten Wan Amran masih mempunyai baki kira-kira 10 lagi tiket penerbangan yang masih belum dituntut sehingga kini berikutan kesibukan tugas suaminya itu sebagai juruterbang yang membataskan penggunaan tiket berkenaan.

“Saya nak tanya kepada pihak MAS sama ada baki tiket ini masih boleh diberi kepada saya sebagai isteri dan anak-anak, atau ia juga boleh ditukarkan kepada wang tunai memandangkan ia hanya boleh digunakan sehingga Julai depan sahaja,” katanya yang merujuk kepada ‘tempoh tamat’ adalah genap setahun pemergian suaminya yang terbabit dalam nahas MH17.

Mariyam (tengah) bersama Wan Yunus Uzair (kiri) dan Wan Yusuf Irfan kembali ke Turki bagi mengimbau kenangan bersama Allahyarham Kapten Wan Amran.

Tambah Mariyam, ada pihak yang mengatakan tuntutan tersebut sudah tidak boleh dibuat kerana suaminya sudah meninggal dunia, namun katanya, baki tiket tersebut diperoleh semasa suaminya masih berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu sejak 1989.

Beliau mendakwa, persoalan itu sudah dikemukakan bersama surat ke bahagian sumber manusia MAS bulan lalu, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas.

“Saya ada berjumpa dengan mereka (bahagian sumber manusia MAS), dan mereka kata tunggu dahulu, perkara ini masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Katanya, difahamkan faedah itu boleh digunakan oleh pasangan kepada kakitangan MAS dan anak-anak atau ibu bapa bagi mereka yang masih bujang.

Setakat ini, usaha mStar Online untuk menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya bagi mendapatkan komen mengenai tuntutan yang dibuat Mariyam belum berhasil.



Tags / Kata Kunci: Mariyam Yusoff , Wan Amran Wan Hussin , Turki , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan