Kerajaan Negeri Dibantu Walaupun Berbeza Fahaman Politik - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 27 Februari 2015 6:16 PM

Najib beramah mesra bersama dengan penduduk tempatan ketika lawatan beliau ke Pekan Pusa, Sri Aman, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua kerajaan negeri akan dipastikan mendapat bantuan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan meskipun berbeza fahaman politik.

Perdana Menteri mengambil contoh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan berkaitan aspek kebajikan rakyat, yang disifatkan beliau sebagai amat murni dan perlu diteruskan.

Dalam Ucapan Perdana Menteri Mengenai Perjumpaan Dengan Menteri Besar Kelantan yang dimuat naik dalam laman blog peribadinya www.najibrazak.com pada Jumaat, Najib berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan rakyat Kelantan.

"Pada Isnin yang lalu, saya telah mengadakan perjumpaan rasmi dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob di Putrajaya di mana kami telah membincangkan beberapa perkara berkaitan kebajikan rakyat Kelantan yang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.

"Saya merasakan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yaakob adalah sebuah usaha yang amat murni.

"Kerjasama ini perlu dipertingkatkan demi kebajikan rakyat Kelantan dan pemerkasaan ummah," katanya dalam audio berdurasi 1 minit 17 saat berkenaan.

Pada Isnin lepas, Najib bertemu dengan Ahmad di Putrajaya bagi membincangkan dua isu utama berkaitan kesejahteraan rakyat Kelantan iaitu persiapan akhir migrasi air dan jajaran "Central Spine Road" sepanjang 417 kilometer dari Kota Baharu, Kelantan sehingga ke Simpang Pelangai, Pahang.

Perdana Menteri dalam catatan di laman Facebook miliknya selepas itu turut memuat naik dua keping gambar yang menunjukkan kedua-dua pemimpin berkenaan berjabat tangan dan mengadakan perbincangan.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan