Tiada Siapa Boleh Persoal Keputusan Agong

Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 7:29 PM

Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada siapa berhak mempersoalkan keputusan yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung petisyen pengampunan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata sama ada keputusan yang akan dibuat kelak memihak ketua pembangkang itu atau tidak, semua pihak perlu menghormatinya.

"Institusi raja dibenarkan oleh Perlembagaan untuk mendengar dan membuat keputusan berkaitan petisyen pengampunan yang dibuat oleh seseorang individu. Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicaranya tersendiri.

"Apabila keputusan telah dibuat, mana-mana pihak tidak boleh persoalkannya. Adalah tidak adil untuk dipertikaikan," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anggota Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Nik Ahmad Kamal, yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata petisyen pengampunan hanya boleh dikemukakan selepas seseorang individu itu melalui semua proses perundangan dinegara ini.

Beliau berkata lazimnya petisyen pengampunan yang dikemukakan seseorang individu bertujuan mengurangkan hukuman atau menghapuskan terus hukuman ke atas dirinya.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada petisyen pengampunan itu sama ada mahu hukuman dikurangkan atau dihapuskan hukuman," katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata sekiranya petisyen pengampunan itu diluluskan, ia membolehkan Anwar kembali aktif dalam politik sekaligus mengenepikan larangan berpolitik selama lima tahun selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Tags / Kata Kunci: Keputusan Agong , Anuar Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan