Sampai Bila Dun Melaka Bersidang Tanpa Ketua Pembangkang

Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 1:43 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Sekiranya DAP masih gagal mencapai kata sepakat melantik seorang ketua pembangkang, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bermula Isnin depan mungkin mencatat sejarahnya tersendiri apabila bersidang tanpa seorang ketua di pihak pembangkang untuk lebih setahun.

Perkara itu dilihat semakin menjadi kenyataan menjelang persidangan empat hari DUN apabila sehingga hari ini parti berkenaan masih gagal melantik ketua pembangkang baharu selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San meletak jawatan pada 8 Oktober 2013.

Media sebelum ini melaporkan, Goh meletak jawatan sebagai ketua pembangkang disebabkan pertelagahan beliau dengan pimpinan DAP pusat dan ADUN Melaka daripada DAP yang menyokong pimpinan DAP pusat antaranya Khoo Poay Tiong iaitu ADUN Ayer Keroh.

Goh ketika dihubungi Bernama memberitahu masih tiada apa-apa perbincangan terbaharu tentang pelantikan ketua pembangkang dalam kalangan ADUN daripada DAP setelah beliau meletak jawatan.

"Masih tiada perbincangan mengenai perkara itu (pelantikan ketua pembangkang), jika ada perkembangan terbaharu akan beritahu nanti," katanya tanpa mengulas lanjut. 

Melaka mempunyai 28 ADUN, yang mana tujuh merupakan pembangkang iaitu Goh, Khoo, Lai Keun Ban (DAP-Kota Laksamana), Lim Jak Wong (DAP-Bachang), Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir), Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) dan Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru).

Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad mengesahkan beliau tidak menerima apa-apa surat berkenaan pelantikan ketua pembangkang yang baharu daripada DAP sehingga hari ini, walaupun telah mengutus surat kepada DAP selepas Goh meletak jawatan lebih setahun lepas.

"Menurut peraturan, persidangan DUN Melaka masih boleh berjalan tanpa adanya seorang ketua pembangkang tetapi dikhuatiri akan timbul masalah dari segi penyelarasan," katanya.

Bagaimanapun perlu diingat amalan biasa bagi sesebuah sistem demokrasi ialah adanya ketua untuk kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang bagi perjalanan pentadbiran yang lebih berkesan.

Ditanya sampai bila DUN Melaka boleh bersidang tanpa ketua pembangkang, Othman berkata speaker DUN Melaka tidak mempunyai kuasa untuk melantik ketua pembangkang tetapi menyarankan agar pihak pembangkang melantik seorang ketua dengan secepat mungkin.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula mengakui terdapat kecelaruan dalam kalangan pembangkang ketika berlangsungnya tiga persidangan DUN Melaka tahun lepas kerana tiadanya seorang ketua.

Bagaimanapun, beliau berkata ADUN daripada Barisan Nasional (BN) tidak berniat untuk mengambil kesempatan terhadap kecelaruan pembangkang itu kerana kepentingan pembangkang dalam persidangan DUN mengikut sistem demokrasi yang diamalkan negara ini.

"Peluang untuk berbahas dan berucap dalam dewan diberi sama rata antara (ADUN) BN dan pembangkang kerana kita perlukan semua input daripada semua pihak bagi pastikan perkara yang dibincangkan itu memberi kebaikan kepada rakyat," katanya.

Dilaporkan sebelum ini pertelagahan antara pemimpin DAP negeri dan pusat menemui kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila bekas Pengerusi DAP Melaka Sim Tong Him juga anggota Parlimen Kota Melaka membantah cadangan DAP pusat meletakkan Lai Keun Ban sebagai calon kerusi DUN Kota Laksamana.

Isu demi isu antaranya tindakan Goh juga dilihat 'orang kuat' Sim, memuji Idris dalam persidangan DUN Melaka pada 3 Oktober 2013, menimbulkan rasa kurang senang kepada pimpinan DAP pusat juga ADUN DAP yang menyokong DAP pusat, menyebabkan Goh meletak jawatan sebagai ketua pembangkang.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan