PKR Mohon Anwar Hadir Sidang Parlimen Mac Ini

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2015 4:00 PM

Anwar boleh hadir ke Parlimen sekiranya mendapat kebenaran Menteri Dalam Negeri.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sekretariat Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mendapatkan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat hadir pada sidang Parlimen, Mac ini.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, sekretariat itu juga akan berbincang dengan barisan peguam ketua pembangkang itu untuk tindakan susulan.

"Sekretariat Parlimen PKR yang diketuai Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) akan berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan peguam-peguam Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi membolehkan beliau hadir pada sesi persidangan akan datang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Anwar wajar dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 9 Mac ini.

"Susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak dikosongkan sehingga proses petisyen pengampunan diraja ini selesai, persoalan ketua pembangkang dan pilihan raya kecil (PRK) juga tidak timbul," katanya.

Terdahulu, Profesor Gurdial Singh Nijar daripada Fakulti Undang-undang Universiti Malaya dipetik sebuah portal berita sebagai berkata, Anwar boleh hadir ke Parlimen sekiranya mendapat kebenaran daripada Menteri Dalam Negeri.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik sebagai berkata, permohonan untuk Anwar hadir pada sidang Dewan Rakyat perlu dikemukakan kepada pihak penjara dan Parlimen.

Memaklumkan ia situasi yang pertama kali berlaku di negara ini, katanya, pihak KDN akan mempertimbangkan permohonan itu selepas permohonan kepada kedua-dua pihak berkenaan dikemukakan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, jika dibenarkan hadir ke Parlimen, statusnya sebagai pesalah kekal.

Pada Selasa, Pandikar Amin mengesahkan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen pengampunan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menunggu keputusan rayuan pengampunan diraja yang dikemukakan oleh keluarga ketua pembangkang sebelum mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Permatang Pauh.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, prosedur itu berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung status Anwar selepas menerima salinan petisyen pengampunan diraja daripada keluarga ahli politik itu pada Selasa.

"Kita terpaksa tunggu sehingga petisyen pengampunan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikeluarkan menerusi kenyataan Speaker Dewan Rakyat," katanya.

Anwar yang diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha memfailkan rayuan pengampunan di Istana Negara di saat akhir pada Selasa.

Petisyen pengampunan itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Anwar, 67, setelah menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, kini berumur 30 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , Parlimen , Rafizi Ramli , PKR

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan