Hanya 380 Daripada 5,000 Koperasi Yang Layak Daftar CBP

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2015 10:05 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hanya 380 daripada 5,000 koperasi yang layak membuat pendaftaran bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) telah mendaftar setakat ini.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata meskipun jumlah itu masih rendah, namun pihaknya meletakkan sasaran 5,000 koperasi mendaftar sebelum pelaksanaan cukai tersebut pada 1 April ini.

"SKM akan terus menggiatkan usaha kesedaran dalam kalangan pengusaha koperasi untuk melakukan pendaftaran CBP.

"Mereka perlu menerima hakikat bahawa CBP adalah dasar kerajaan. Mereka akan tewas dalam persaingan sekiranya mereka tidak mendaftar kerana mereka tidak akan dapat membuat tuntutan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar GST-Program Informasi Produk dan Perkhidmatan Angkasa 2015,di sini, Rabu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sehingga kini, bilangan keseluruhan koperasi di seluruh negara berjumlah12,000 dengan 5,000 daripada jumlah tersebut layak mendaftar untuk CBP.

Mengulas mengenai permohonan pengecualian CBP oleh Angkasa, Nik Ali berkata cukai baharu itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh koperasi tersebut.   

Angkasa sebelum ini memohon pengecualian tersebut kerana bimbang penjawat awam akan terjejas sekiranya CBP dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan yang disediakan olehnya.

Sementara itu mengenai perkara lain, Nik Ali berkata SKM melahirkan kebimbangan terhadap segelintir syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia kerana bertindak mengambil alih beberapa koperasi yang menguntungkan.

Beliau berkata walaupun tindakan pengambil alihan itu tidak melanggar peruntukan undang-undang namun beliau sedih kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan strategik perniagaan bagi sektor koperasi. 

"SKM hanya boleh mengawal koperasi tersebut sekiranya mereka ingin menabung dan menggunakan pinjaman, tetapi koperasi yang terlibat dalam proses pengambilalihan ini kebanyakannya memiliki aset yang besar.

"Buat masa ini hanya dua koperasi yang yang telah diambilalih iaitu KUB Malaysia (KUB) dan terbaharu Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tetapi kita bimbang ia boleh mempengaruhi koperasi-koperasi lain," katanya. 

Tags / Kata Kunci: Koperasi , CBP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan