Malaysia Gesa Semua Negara Perbaharui Komitmen Tangani Keganasan - Anifah

Diterbitkan: Selasa, 24 Februari 2015 1:45 PM

Anifah Aman.

Anifah Aman

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa semua negara perbaharui komitmen mereka untuk bertindak secara bersepadu dan bersama-sama dalam usaha menangani ancaman keganasan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, peristiwa dan perkembangan di seluruh dunia dalam tahun-tahun kebelakangan menunjukkan betapa bahayanya keganasan dan pengganas dan begitu pantas ia menjadi barah.

"Pada masa lalu, keganasan digunakan untuk mencapai cita-cita politik dan ideologi, pengganas hari ini tidak lagi terikat dengan matlamat seperti ini.

"Mereka kini mahu menguasai wilayah dan penduduk, malah dengan pandangan mendapatkan status setaraf dengan negara-negara lain," katanya pada Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 'Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa: Pengukuhan Semula Komitmen untuk Tujuan dan Prinsip Berkanun PBB' di New York, semalam.

Teks ucapan Anifah dihantar kepada Bernama di sini, Selasa.

Anifah berkata, cita-cita pengganas menguasai wilayah dan penduduk adalah bertentangan dengan tujuan dan prinsip yang diasaskan oleh Piagam PBB.

"Selain bertindak ganas dan tidak berperikemanusiaan, percubaan untuk mewujudkan apa yang dipanggil "negara" adalah bertentangan dengan prinsip Piagam termasuk prinsip hubungan persahabatan antara negara dan larangan menggunakan kekerasan dan menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas, antara lain," kata beliau.

"Pada pandangan Malaysia, kebangkitan pelaku tanpa negara - khususnya pengganas - yang ingin mendapatkan kawalan dalam semua ciri saling hubungan, saling tautan dan dunia globalisasi serta menggunakannya untuk menyemai keganasan, kebencian dan kekacauan merupakan cabaran yang perlu diatasi segera oleh masyarakat antarabangsa hari ini," tegas Anifah.

Anifah juga memuji langkah yang diambil oleh Kesatuan Afrika dan negara-negara Suruhanjaya Lembangan Tasik Chad iaitu Cameroon, Chad, Niger dan Nigeria serta Benin yang menggerakkan Pasukan Petugas Bersama Pelbagai Negara (MNJTF) bagi menentang ancaman Boko Haram.

Katanya, langkah dan tindakan negara terbabit layak mendapat sokongan penuh masyarakat antarabangsa dan mengukuhkan prinsip Piagam, termasuk yang termaktub dalam Bab VIII.

"Hampir 70 tahun selepas penubuhannya, jelas bahawa ancaman dan cabaran yang dihadapi Majlis Keselamatan pada 2015 adalah berbeza dan malah setara, jika tidak lebih, kompleks berbanding cabaran sebelum ini," katanya.

Katanya, daripada perspektif sejarah, Malaysia berpegang pada pandangan bahawa Majlis Keselamatan mempunyai rekod bercampur dari segi dalam melaksanakan mandat dan tanggungjawabnya.

Terdahulu sebelum perbahasan terbuka itu, Anifah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari China bertempat di Perwakilan Tetap Republik Rakyat China untuk bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan isu-isu antarabangsa.

China menyandang kerusi Presiden Majlis Keselamatan bagi bulan Februari dan pada bulan ini sahaja sebanyak lima resolusi diluluskan termasuk Resolusi 2202 (2015) mengenai situasi di Ukraine dan Resolusi 2199 mengenai minyak dan keganasan.

Selain China, sembilan negara anggota majlis turut hadir pada mesyuarat peringkat menteri berkenaan iaitu Angola, Lithunia, Malaysia, New Zealand, Nigeria, Sepanyol, Persekutuan Rusia, Amerika Syarikat dan Venezuela.




Tags / Kata Kunci: Anifah Aman , PBB , New York

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan