Kisah Sedih Bukit Kepong Masih Dalam Ingatan Jamilah

Diterbitkan: Isnin, 23 Februari 2015 4:08 PM

(Ubah saiz teks)

PAGOH: Setiap kali datangnya tarikh keramat 23 Februari, ingatan tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan ibu dan adik tetap segar dalam lipatan sejarah seorang warga emas dari Bandar Baharu Uda, Johor Baharu.

Walaupun telah 65 tahun tragedi itu berlaku, bagi Jamilah Abu Bakar, 69, ia diibarat seperti baharu semalam berlaku dan kenangan pahit itu tidak akan dilupakannya selagi hayat dikandung badan.

Dalam tragedi itu, bapanya Koperal Abu Bakar Daud cedera parah apabila dadanya ditembusi peluru komunis manakala ibunya Fatimah Yaaba dan adiknya Hussin yang berumur dua tahun mati dalam keadaan berpelukan akibat ditembak komunis.

Jamilah yang sesekali menyeka air matanya berkata ketika itu dia baru berumur empat tahun dan masih mengingati kejadian menyayat hati itu dan juga daripada apa yang diceritakan oleh bapanya.

Wanita itu menceritakan kisah sedih itu kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Pesara Polis Diraja Malaysia bersempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kompleks Galeri Darurat Bukit Kepong di sini, Isnin.

Pada 23 Feb 1950, kira-kira pukul 5 pagi itu, Balai Polis Bukit Kepong di sini diserang segerombolan kira-kira 200 pengganas komunis semasa darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Serangan pengganas komunis itu telah mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota polis, seorang anak polis dan enam polis bantuan (AP).

"Saya lihat bapa saya tersandar di dinding kerana tembakan itu manakala ibu dan adik mati berpelukan dan keadaan ketika itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata akibat serangan komunis," katanya.

Jamilah berkata dirinya kemudian diheret ke sebuah parit di luar balai polis dan nyawanya ketika itu diibarat seperti `telur di hujung tanduk' apabila seorang komunis cuba untuk membunuhnya dengan benet.

"Alhamdulillah ketika nyawa hampir melayang kebetulan masa itu ada orang datang memberi bantuan," katanya dan menurutnya ketika diheret dia hanya mampu menangis dan meraung sekuat hati.

Katanya, selepas diselamatkan daripada menjadi mangsa tikaman komunis, dia bersama-sama penghuni berek lain yang terselamat dikurung di sebuah kedai runcit, dan semasa itu dia turut terkena peluru sesat di bahagian tangan kirinya.

Jamilah berkata, semasa kejadian bapanya berusia 35 tahun dan walaupun mengalami cedera parah tetapi diberikan umur yang panjang, selain seorang lagi adiknya, Hassan, iaitu kembar Hussin, juga terselamat tetapi mereka terpisah selepas kejadian tersebut.

"Adik saya Hassan pun sudah ditemukan semula," katanya yang berkeluarga dan dikurniakan enam cahaya mata.

Jamilah berkata, selepas peristiwa itu dia mengalami trauma manakala bapanya banyak termenung dan kurang bercakap, mereka kemudiannya berpindah ke Tanjung Surat sebelum bapanya menamatkan perkhidmatan di Johor Baharu.

Wanita itu juga berpesan kepada generasi muda agar mengenang kembali tragedi itu dan mempertahankan negara daripada diceroboh dan digugat keamanan yang dikecapi kini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam perutusan yang dibacakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata semua pihak harus mengenang peristiwa itu yang akan terus membakar semangat juang untuk mempertahankan setiap inci bumi negara.

"Sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil pengorbanan jiwa dan raga wira-wira negara yang terdahulu," katanya.

Tags / Kata Kunci: Bukit Kepong

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan