Pelajar Tajaan Mara Diingatkan Jangan Terlibat Dengan IS

Diterbitkan: Sabtu, 21 Februari 2015 4:57 PM

Mohd Shafie Apdal.

Shafie Apdal

(Ubah saiz teks)

SEMPORNA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengingatkan semua pelajar di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) supaya tidak terlibat dengan kegiatan kumpulan militan IS.

Beliau berkata, kumpulan militan IS itu perlu dikutuk sekeras-kerasnya dan bukan diberi sokongan kepada mereka kerana tindakan mereka adalah di luar batas agama.

"Pelajar perlu memberi tumpuan kepada pendidikan dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan. Walaupun namanya jihad tetapi amalannya bukan amalan Islam sebenar, agama (Islam) tidak pernah menghalalkan pembunuhan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemimpin Bersama Ibu Bapa dan Warga Sekolah Agama Negeri Pekan Semporna di sini, Sabtu.

Beliau diminta mengulas penahanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun baru-baru, yang dipercayai mahu menyertai kumpulan militan itu.

Pada 18 Februari, sepasukan polis daripada Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman menahan remaja perempuan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL kerana dipercayai merancang menyertai IS di Syria.

Menurut polis, remaja itu dikesan terpengaruh dengan fahaman ekstremis berkenaan selepas berinteraksi dengan dua individu di laman Facebook, sebelum bertindak nekad mahu meninggalkan negara bagi menyertai kumpulan militan itu.

Mohd Shafie berkata, Mara sentiasa memantau pelajar di bawah tajaannya agar tiada yang terlibat dalam kegiatan militan.

Beliau turut memberi peringatan mengenai perkara itu kepada pelajar-pelajar Malaysia semasa lawatannya ke beberapa universiti luar negara untuk bertemu pelajar tajaan Mara.

"Mereka diingatkan supaya memberi tumpuan terhadap pelajaran dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti tidak bermanfaat," katanya.

Tags / Kata Kunci: Shafie Apdal , Majlis Amanah Rakyat , IS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan