Penduduk Rasa Banjir Seperti 'Baharu Semalam Berlaku'

Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 12:31 PM

Khemah kediaman yang dibina sendiri di Kampung Pasir Tumboh

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Rasanya seperti baharu semalam banjir besar meragut hampir segala harta bendanya, kata penduduk Mohd Noor Ismail.

Televisyen, peti sejuk, almari, tilam, kipas dan mesin pemotong rumput miliknya semuanya rosak akibat banjir Disember lalu.

Lebih penting lagi, lelaki berusia 64 tahun itu tidak boleh keluar mencari rezeki kerana enjin botnya rosak dan tidak boleh diperbaiki.

Dia memerlukan kira-kira RM1,000 untuk membeli enjin baharu. Jumlah itu baginya, adalah satu jumlah wang yang besar untuk dia yang memperoleh pendapatan di antara RM500-RM1,000 sebulan dengan menoreh getah dan berkebun.

"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kita hanya perlu reda terhadap apa yang telah berlaku, " katanya dalam keadaan hampir tidak bermaya, apabila ditanya sama ada dia dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Mohd Noor dan isterinya Rohana Ali, 56, telah membersihkan rumah mereka yang terletak di Kampung Pasir Tumboh di Gua Musang sejak banjir surut pada bulan Januari.



Walaupun kerja-kerja pembersihan sering dilakukan, kesan lumpur masih boleh dilihat di dalam dan di luar rumah papan mereka.

"Kaki saya sangat kotor sejak kebelakangan ini," katanya sambil ketawa dan menunjukkan tapak kakinya.

Keluarganya telah berjaya 'menghidupkan' semula lampu-lampu di rumahnya tetapi hanya itu sahaja yang mereka ada. Mereka masih perlu perlu tidur di atas lantai.

Mohd Noor, bagaimanapun tidak bersendirian kerana dia mempunyai 11 orang anak dan 12 cucu.

Seluruh kampungnya kelihatan seperti telah musnah oleh taufan atau tsunami.

Serpihan set televisyen lama, peti sejuk, tilam, kerusi dan mesin basuh dapat dilihat di mana-mana di bahagian luar rumah.

Beberapa buah rumah dilihat telah ditinggalkan terbiar, dengan lapisan lumpur kering setebal tiga inci. Beberapa buah rumah papan telah runtuh.

Kebanyakan penduduk tinggal di rumah mereka yang telah dibersihkan separuh bahagian sementara yang lain tidur di dalam khemah sementara.



Bekalan air ke kampung itu juga telah terganggu, kerana empangan di mana mereka mendapatkan bekalan air telah melimpah dan menyebabkannya pecah.

Daripada 94 buah rumah di situ, hanya 12 buah yang tidak ditenggelami air. Daripada 82 buah yang tenggelam, 10 buah telah musnah keseluruhannya.

"Penduduk kampung trauma dengan bencana ini. Harta benda yang dikumpul dan rumah yang didiami selama bertahun-tahun hilang dalam masa beberapa hari, " kata Ketua Kampung Pasir Tumboh Ahmad Seman yang tinggal di situ sejak sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.

Namun, mereka bernasib baik apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cakna UT,  membantu penduduk kampung membina semula rumah mereka.

Selain itu, banjir itu juga menyebabkan kerosakan jalan raya.

Jarak antara Pasir Tumboh dan bandar Gua Musang adalah kira-kira 30km tetapi kerana beberapa jalan telah musnah, laluan lebih jauh perlu dilalui dengan jarak kini kira-kira 110km.

Pada Disember, Pantai Timur Semenanjung Malaysia dilanda banjir besar menyebabkan lebih 200,000 orang terpaksa dipindahkan dengan jumlah kerugian berbilion ringgit.

Kemusnahan akibat banjir boleh dilihat di sepanjang jalan dan Sungai Kelantan, di mana pokok-pokok telah tumbang.

Begitu juga di di Mukim Stong yang mempunyai tujuh buah kampung dengan jumlah penduduk kira-kira 3,000 orang.

Di Kampung Kemubu, hanya 34 dari 243 buah rumah di kampung itu terselamat, manakala selebihnya tenggelam dengan 45 dikelaskan sebagai musnah keseluruhannya.

Di sini penduduk tinggal di rumah transit manakala yang lain tinggal dengan saudara-mara, kata ketua Mukim Stong, Raduan Jusoh.

"Kami tidak boleh menganggarkan jumlah kerosakan tetapi anda boleh lihat sendiri bagaimana teruknya keadaan," katanya sambil menambah 40 buah kereta dan lebih 100 buah motosikal ditenggelami banjir.

Mengenai jalan raya, perjalanan lima minit untuk ke tempat kerja selama ini telah mengambil masa selama 40 minit, kerana jambatan merentasi sungai telah rosak.

Jambatan ini juga menjadi jambatan yang sama dengan landasan kereta api. Akibatnya, perkhidmatan KTM ke Tumpat telah digantung buat sementara waktu.

"Bagi saya, apa yang dilihat ini seolah-olah banjir itu berlaku tiga atau empat hari lalu. Ini adalah takdir dan kita perlu menerimanya, " kata Reduan.

Terdapat 13 khemah perumahan yang digunakan oleh mangsa di kampung itu untuk berlindung. Mereka memasak dan mandi di dewan badminton bersebelahan khemah.

Siti Hawa Hamid, 75, sedang berbaring di dalam dewan kerana keadaan di dalam khemah itu panas menjelang petang.

"Saya rasa sangat letih," katanya, sambil bangun dan kemudian baring semula.



Che Aziz Bakar, 50, dan isterinya Che Sharifah Che Leh, 46, membasuh selimut di rumah mereka yang berusia 15 tahun di Kampung Kerinting, Gua Musang.

"Saya belum selesai lagi (mencuci). Kalau saya hantar ke dobi, ia akan berdebu semula. Lebih baik saya hanya melakukannya sendiri, " kata Che Sharifah.

Che Sharifah menjelaskan, selimut itu terselamat kerana ia tidak digunakan dan berada dalam sarung plastiknya.

Hampir semua barangan terpaksa dibuang selepas rumah dan kedai runcitnya ditenggelami air.

Kereta mereka terselamat kerana Che Aziz telah pergi menjalani rawatan dialisis pada masa itu.

Dia menganggarkan kerugian sekurang-kurangnya RM10,000 untuk kedai runcit yang musnah . Namun, dia teragak-agak untuk menjawab apabila ditanya sama ada mereka akan pulih daripada banjir yang melanda.

Isterinya, bagaimanapun, masih mampu tersenyum dan yakin bahawa mereka akan pulih suatu hari nanti.

"Saya rasa kami akan mengambil masa beberapa tahun untuk kembali normal," katanya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan