Lebih 1,500 Penduduk Kampung Di Sabah Diberi Sehingga 30 April Untuk Berpindah

Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 3:27 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU:  Bagi lebih 1,500 penduduk, perayaan Tahun Baru Cina pada kali ini agak suram apabila mereka terpaksa memikirkan nasib dan masa depan yang tidak menentu selepas diusir dari tanah yang telah diduduki selama lebih dari 40 tahun.

Penduduk di Kampung Air, yang terletak berhampiran dengan Beluran di Pantai timur Sabah, diberi tempoh sehingga 30 April untuk keluar dari kawasan seluas empat hektar yang sentiasa dianggap mereka sebagai sebagai kawasan rizab kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung, Andaraman Kahar berkata, mereka hanya mendapat tahu bahawa tanah tempat mereka membina rumah yang didiami sekarang adalah tanah persendirian, apabila papan kenyataan untuk mereka berpindah dipasang pada 12 Februari.

"Tipu kalau kami katakan kami tak terkejut. Bagaimana anda rasa apabila anda diusir keluar dari rumah yang anda telah diami selama hampir setengah abad, "katanya.

Penduduk mula membina rumah di atas tanah di kampung itu pada tahun 1971.

Andaraman berkata penduduk kampung tidak faham bagaimana tanah itu boleh menjadi milik persendirian apabila kerajaan negeri telah mengakui bahawa ia adalah bona fide kawasan kampung.

"Seorang ketua kampung telah dilantik pada tahun 1978 dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung telah ditubuhkan di sini pada tahun 1980 dengan kelulusan kerajaan negeri," katanya.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee berkata kampung itu telah ditubuhkan pada tahun 1965 dan penghuni awalnya adalah anggota masyarakat dari etnik Tidung.

"Namun pada tahun 1986, Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) daerah Beluran termasuk Pegawai Daerah dan Penolong Pemungut Hasil Tanah meluluskan permohonan daripada individu untuk tanah kampung itu," katanya.

"Bagaimana ia diluluskan, itu adalah misteri. Bagi saya ini menunjukkan kecuaian di pihak pegawai-pegawai daerah itu, " kata Ronald yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

"Mereka sepatutnya menghormati hak penduduk kampung terhadap tanah itu," katanya sambil menambah tiada permohonan dibuat oleh penduduk kampung untuk secara rasmi menjadikan tanah itu sebagai rizab kampung.

Katanya, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Pegawai Daerah Beluran Suhaili Riman dan "harapan saya agar Pejabat Daerah akan mencari jalan untuk mengembalikan hak terhadap tanah kepada penduduk kampung."

Andaraman berkata penduduk kampung hanya dapat berdoa bahawa mereka akan diberi tapak alternatif berhampiran pekan Beluran untuk menempatkan semula rumah-rumah mereka atau disediakan perumahan mampu dimiliki.

Tetapi dengan keadaan di mana hampir semua tanah di sekitar bandar Beluran kini menjadi milik persendirian dan projek perumahan mampu milik sedang dibina di kawasan itu, masa depan penduduk kampung yang terjejas tetap akan menjadi tidak menentu.
Tags / Kata Kunci: Datuk Ronald Kiandee , Kampung Air

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan