Permatang Pauh: Beri Peluang Kepada BN, Biar Anwar Jadi 'Nostalgia'

Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 9:41 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengundi di Permatang Pauh tidak perlu beremosi terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya perlu memandang ke hadapan dalam menentukan bakal pemimpin mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, telah tiba masanya rakyat di Permatang Pauh menjadikan kepimpinan ketua pembangkang itu sebagai ‘nostalgia’ dan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) berkhidmat untuk mereka.

Katanya, penduduk sudah ‘bersama’ Anwar selama 17 tahun dan sepanjang tempoh itu juga Parlimen Permatang Pauh hanya berkisar kepada ‘Anwar’, justeru pembaharuan dari segi kepimpinan wajar dilakukan.

"Kita melalui banyak pilihan raya di Permatang Pauh sejak 17 tahun lalu dan isunya hanya berkisar kepada Anwar. Kalau bukan Anwar, isterinya, kalau bukan isterinya, anak perempuannya atau mungkin kawan baiknya…semuanya berkaitan Anwar.

"Kenapa tidak kali ini beri peluang untuk kita beri balik apa yang orang Permatang Pauh telah hilang selama 17 tahun? Ia haruslah seseorang yang bukan dari lingkungan Anwar dan kita akan buktikan dalam masa lebih kurang tiga tahun akan datang, ia akan menjadi lebih baik dari 17 tahun lalu," katanya kepada mStar Online.

Datuk Zainal Abidin Osman

Menurut beliau, Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, sekiranya dijalankan, akan menjadi sesuatu yang berbeza berbanding pilihan raya umum terdahulu kerana pada kali ini rakyat mahu memilih ahli Parlimen yang akan berkhidmat untuk mereka, bukan lagi memilih kerajaan memerintah.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengakui pertandingan akan menjadi sukar kerana Umno dan BN, dalam masa yang singkat perlu berdepan 11,721 majoriti undi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Namun, bekas timbalan menteri itu melihatnya sebagai satu ‘permainan angka’ dan berkata dalam politik tidak ada yang mustahil untuk dicapai jika pengundi mahu bangkit dan memandang ke hadapan.

"Bagi kita, ini (pillihan raya) bukan tentang Anwar, ini tentang rakyat di Permatang Pauh yang tak boleh berterusan beremosi dalam berfikir.

"Anwar boleh menjadi satu nostalgia. Orang di Permatang Pauh mesti bergerak ke hadapan, kita perlu fikir apa yang terbaik untuk semua.

"Adakah dengan emosi marah, dendam dan menyalahkan semua orang akan meletakkan kehidupan orang di Permatang Pauh lebih baik," katanya sambil menambah Anwar yang merupakan rakannya dalam BN juga telah menjadi nostalgia dalam dirinya.

Mengenai calon, beliau berkata BN mempunyai ramai calon berpotensi untuk berdepan siapa sahaja yang diletakkan pembangkang, namun ia akan ditentukan oleh presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apa yang pasti katanya, siapa sahaja calon yang diletakkan lawan, PKR tetap menjadi pilihan dan BN tetap parti ‘underdog’.

"Sama ada mereka bawa Nurul Nuha, bekas Speaker atau siapa saja, mereka tetapi jadi pilihan dan kita ‘underdog’.

"Jadi kita tak kisah siapa yang mereka letak, kita tak rugi apa-apa, perjuangan diteruskan dan kita beri peluang untuk rakyat buat pilihan,” katanya.

Katanya, walaupun masih belum mendapat 'lampu hijau' untuk bertanding dan pihaknya masih di peringkat meyakinkan pucuk pimpinan BN, beberapa persiapan sedang dilakukan, termasuklah dari segi penentuan kriteria calon sementara menunggu kenyataan rasmi kekosongan kerusi.

"Yang penting mereka orang tempatan, tahu dan kenal orang Permatang Pauh, bukan tinggal di Kuala Lumpur, kita tak ‘import ‘ dari Kulim atau Balik Pulau (contoh).

"Mereka juga muda, energetik, profesional, berpendidikan dan mampu berkhidmat,” katanya.

Mengulas mengenai isu lain di Permatang Pauh, beliau berkata masih terdapat penduduk yang terabai dari segi kebajikan, juga dari segi kemudahan asas dan sosial berbanding 'jiran' mereka di bawah BN iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Jelasnya, dalam hal ini rakyat di sana akan mendapat manfaat dan kelebihan jika wakil mereka adalah dari BN kerana sebahagian peruntukan kerajaan Pusat akan disalurkan kepada mereka, di samping peruntukan berterusan oleh kerajaan negeri.

Pada PRU-13, Anwar menang di Permatang Pauh dengan 37,090 undi mengalahkan calon BN, Dr Mazlan Ismail yang mendapat 25,369 undi dan calon Bebas, Dr Zawawi Samsuddin yang menerima 201 undi.

Anwar mula memegang jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 mewakili BN dan pada tahun yang sama kerusi itu disandang isterinya yang juga Presiden PKR.

Anwar bertanding semula kerusi tersebut selepas dikosongkan oleh Dr Wan Azizah pada 31 Julai 2008 dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 15,671 undi.

Pada 10 Februari lalu, Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Mahkamah itu mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan.

Dengan keputusan itu, Anwar, 67, hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.


iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan