Projek Lebuh Raya Kidex Patuhi Semua Prasyarat - Fadillah

Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 9:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah memenuhi semua prasyarat yang ditetapkan dalam projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), kata Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam satu kenyataan, Rabu, beliau berkata semua proses, prosedur dan prasyarat telah dipatuhi dan dikemukakan keseluruhannya kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, yang telah mendapat kelulusan prinsip bersyarat pada 23 Februari 2012 daripada kerajaan negeri.

Penilaian Impak Lalu lintas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar juga telah dikemukakan pada 7 Julai 2014, katanya.

Fadillah berkata, Kidex merupakan satu penyelesaian bagi menangani kesesakan lalu lintas di kawasan Lembah Klang dan Petaling Jaya, selain beberapa lebuh raya lain yang dicadangkan untuk mewujudkan jaringan jalan raya/lebuh raya serta pengangkutan awam yang lebih sistematik.

"Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara dari sudut perundangan berhubung keputusan kerajaan negeri Selangor membatalkan projek lebuh raya tersebut bagi mendapatkan input berkaitan undang-undang memandangkan perjanjian konsesi telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi," jelasnya.

Fadillah berkata, kementerian juga akan bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk berbincang lebih lanjut berhubung pembatalan projek Lebuhraya Kidex dan memastikan apa jua keputusan yang dibuat akan memanfaatkan rakyat majoriti.

Pada Isnin, Azmin mengumumkan pembatalan pembinaan projek Lebuh Raya Kidex kerana pihak konsesi gagal mematuhi tiga syarat khusus yang ditetapkan kerajaan negeri sehingga tamat tempoh Sabtu lepas.

Azmin berkata antara syarat yang gagal dipatuhi ialah penyediaan Penilaian Impak Lalu Lintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Dalam perkembangan sama, Fadillah berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat konsesi telah mengadakan pelbagai sesi janji temu dengan 76 Persatuan Penduduk dan 172 Rukun Tetangga sejak Ogos 2014, serta sektor swasta dan perniagaan untuk menerangkan cadangan jajaran lebuh raya Kidex di samping mendapatkan maklum balas mereka.

Tambahnya, pameran awam juga telah diadakan di MBPJ dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), diikuti pelaksanaan pewartaan di bawah Rancangan Tempatan MPSJ (Penggubahan 1) 2020 pada 9 Mei 2013.

Fadillah berkata, pelbagai sesi perbincangan juga telah diadakan di antara ahli-ahli Majlis MBPJ, Bahagian Kejuruteraan, LLM dan syarikat konsesi untuk memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai cadangan jajaran Lebuhraya Kidex.

Jelasnya lagi, MBPJ telah melantik Perunding dan Perancang Trafik MDS untuk menilai kesan trafik, kajian destinasi asal, analisis kos faedah dan beberapa aspek berhubung Penilaian Impak Trafik Kidex.

"Laporan itu telah dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan MBPJ pada 21 Januari 2015, kepada ahli-ahli Majlis, dan pada 27 Januari 2015 kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen terlibat.

"Wakil teknikal LLM dalam taklimat tersebut telah mengutarakan pandangan dan penjelasan mereka berkaitan dengan perkara-perkara yang telah dibangkitkan dalam laporan perunding," jelas Fadillah.

Mengikut laman web syarikat konsesi Kidex Sdn Bhd, projek bernilai RM2.42 bilion yang dicadang dibina tahun ini bermula di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Damansara dan berakhir di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Kinrara.

Lebuh raya itu merangkumi laluan utama sepanjang 14.9km serta susur lebuh raya sepanjang 11.2km dan sebagai sebuah lebuh raya bertingkat sepenuhnya.

Kidex dipercayai mampu memenuhi keperluan penduduk di kawasan utara-selatan Lembah Klang selain mengurangkan kesesakan lalu lintas Raya Damansara Puchong (LDP) sehingga 30 peratus.

Tags / Kata Kunci: Fadillah Yusof , Kidex , Selangor

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan