Sektor Pertanian Rugi RM299 Juta Akibat Banjir

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:17 PM

Ismail Sabri Yaakob (kiri) menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada 937 mangsa banjir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir Daerah Bera di Dewan Serbaguna Kompleks Rakan Muda di Bera, Selasa.

(Ubah saiz teks)

BERA: Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani mengalami kerugian mencecah RM299 juta akibat bencana banjir di seluruh negara baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu RM194 juta membabitkkan kerosakan hasil pertanian, RM99.5 juta kerosakan infrastruktur dan RM5.5 juta kerosakan aset.

"Di Pahang sahaja kerugian membabitkan RM68.28 juta. Sebanyak RM54.4 juta adalah hasil pertanian, RM790,000 aset dan sebanyak RM13.04 juta lagi infrastruktur.

"Selain itu, seramai 15,403 petani, penternak dan nelayan terbabit banjir membabitkan keseluruhan kawasan pertanian seluas 16,342 hektar," katanya kepada pemberita selepas Majlis penyampaian sumbangan wang ihsan kepada 937 keluarga dari Bera yang ditimpa bencana banjir, di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera di sini, Selasa.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera memberitahu, Kelantan merekodkan bilangan tertinggi golongan penternak, nelayan dan petani yang terlibat banjir iaitu 7,119 orang, Pahang, 4,972 orang, Terengganu 1,694 orang dan Perak seramai 1,617 orang.

Katanya, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memberi wang ganti rugi kepada tiga golongan tersebut yang hasil pertanian mereka terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

"Ganti rugi itu akan diagihkan sebaik sahaja MKN mendapat wang tersebut dari kerajaan," katanya.

Katanya, kadar bayaran ditetapkan iaitu bagi padi ialah RM1,800 sehektar (dengan maksimum bayaran tiga hektar sawah padi sahaja), ternakan kerbau RM700 seekor (maksimum 10 ekor), lembu dan rusa RM600 seekor (maksimum 10 ekor), kambing RM150 seekor (maksimum 20 ekor) ayam RM5 seekor (maksimum 100 ekor) dan puyuh RM2 seekor (maksimum 200 ekor).

"Akuakultur pula satu kolam dibayar RM1,500 (maksimum dua kolam) dan bagi ternakan ikan sangkar pula RM200 sepetak (maksimum 12 petak)," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ismail Sabri Yaakob , pertanian , Bera , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan