Kalkulator PCB Mudahkan Semakan Pembayar Cukai

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:00 AM

Sistem Kalkulator PCB disediakan dalam laman web LHDN.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan aplikasi Kalkulator Potongan Cukai Bulanan (PCB), sistem sokongan untuk memudahkan pembayar cukai membuat kiraan bagi menentukan sama ada jumlah PCB untuk tempoh setahun boleh dianggap sebagai cukai muktamad.

Menurut Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim, sistem yang disediakan menerusi laman web LHDN itu dibangunkan sejak 2009 bukan sahaja menjimatkan masa pembayar cukai malah pengiraan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Dengan adanya sistem ini, pembayar cukai yang sudah terima borang cukai digalakkan untuk membuat semakan pengiraan pemotongan PCB yang dibuat oleh majikan," katanya.

Menerusi sistem itu, Masrun berkata, pembayar cukai hanya perlu memasukkan maklumat lengkap yang diminta untuk memudahkan semakan.

"Selepas itu, baharulah mereka boleh buat keputusan awal sama ada perlu kemukakan borang nyata cukai pendapatan kepada LHDN atau tidak," katanya.

Malah, katanya, pembayar cukai boleh mengetahui sama ada kadar PCB yang dibayar cukup untuk menampung jumlah cukai bagi taksiran tahun 2014 atau terdapat lebihan pemotongan bagi tahun itu.

Antara butiran dalam Kalkulator PCB yang perlu dilengkapkan pembayar cukai untuk memudahkan semakan.


"Jika mereka (pembayar cukai) sudah berpuas hati dengan jumlah pemotongan PCB, mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk isi e-filing atau hantar borang cukai secara manual.

"Tapi, jika mereka rasakan jumlah PCB yang dipotong majikan lebih daripada yang sepatutnya dibayar, maka mereka dinasihatkan untuk hantar borang cukai (BE) supaya LHDN dapat terus proses pengembalian semula wang terlebih bayar itu," katanya.

Terdahulu, mStar Online melaporkan mulai 1 Mac ini, proses menerusi perkhidmatan e-filing bermula bagi pembayar cukai yang masih mahu mengemukakan borang BE kerana menganggap jumlah potongan bulanan berlebihan.

Langkah itu sejajar dengan saranan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 pada Oktober 2013 untuk mengurangkan bebanan pembayar cukai.

"Pengguna sistem e-Filing boleh menghantar borang cukai mereka bermula 1 Mac depan sekiranya terdapat lebihan pemotongan. Mereka juga ada tambahan masa 15 hari dari tarikh akhir untuk kemukakan borang tersebut," katanya.

Beliau berkata, kaedah PCB sebagai cukai muktamad ini akan digunapakai terhadap individu makan gaji dan tafsiran cukai dibuat secara berasingan bagi individu yang telah berkahwin.

Tags / Kata Kunci: LHDN , Kalkulator PCB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan