Bomba KL Siap Sedia Sepanjang Sambutan Tahun Baharu Cina

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 1:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 330 anggota bomba melibatkan 17 balai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur akan bertugas sepanjang Tahun Baharu Cina ini sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kes kebakaran.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata kejadian kebakaran yang berlaku pada musim perayaan adalah disebabkan pertambahan aktiviti manusia pada ketika itu berbanding hari biasa.

"Sebagai contoh pembakaran colok juga boleh mengundang kebakaran. Sebenarnya, menjelang musim perayaan bomba sentiasa menggandakan kempen mencegah kebakaran dengan kerjasama pihak berkuasa seperti polis dan rondaan raya,"katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Jalan Maharajalela, pada Selasa.

Beliau berkata pihaknya akan membuat rondaan musim perayaan itu mulai hari ini sehingga Selasa depan.

"Mereka akan bertugas mengikut syif dan jadual yang ditetapkan melibatkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta bomba. Pihak bomba akan melakukan rondaan dari semasa ke semasa dan meninjau kawasan yang berisiko tinggi berlaku kebakaran," katanya.

Khirudin berkata antara kawasan yang diberi tumpuan adalah sekitar Kepong, Jinjang, Salak Selatan dan Cheras.

Menurutnya, pasukan URB akan ditempatkan di beberapa lokasi terpilih didi sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan tindakan pantas semasa kebakaran.

Katanya selain itu, bomba turut mengedarkan risalah mengenai pencegahan kebakaran yang akan diedarkan kepada orang ramai termasuk di premis perniagaan dan kawasan perumahan yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.  |

Beliau berharap penduduk di ibu kota dapat memperlengkapkan diri dengan alatpemadam kebakaran agar dapat mengurangkan kadar kerugian akibat kebakaran. 

Sementara itu, beliau berkata statistik panggilan kebakaran melibatkan bangunan pada tahun lepas menurun iaitu 771 kes berbanding 818 kes pada 2013.

Jumlah kematian akibat kebakaran yang direkodkan pada 2014 adalah enam, berbanding 10 kes, tahun sebelumnya. 

Tags / Kata Kunci: Bomba KL , Sambutan Tahun Baharu Cina

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan