PCB Penentu Kemuka Borang BE Atau Tidak - LHDN

Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2015 10:21 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Berkuatkuasa tahun ini, jumlah Potongan Cukai Berjadual (PCB) oleh pihak majikan akan menentukan sama ada pembayar cukai akan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BE) atau tidak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini bermakna, pembayar cukai boleh memilih untuk tidak mengemukakan borang BE jika berpuas hati dengan jumlah PCB pada penyata cukai tahunan yang dikeluarkan majikan masing-masing.

Sehubungan itu, mulai 1 Mac ini, proses menerusi perkhidmatan e-filing bermula bagi pembayar cukai  yang masih mahu mengemukakan borang BE kerana menganggap jumlah potongan bulanan berlebihan.

Langkah itu sejajar dengan saranan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 pada Oktober 2013..

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim berkata, sekiranya pembayar cukai berpuas hati dengan jumlah PCB, maka cukainya dianggap muktamad dan tidak perlu mengemukakan borang BE.

"Pembayar cukai boleh buat pilihan untuk tidak hantar borang BE bagi tahun taksiran 2014 sekiranya tiada bantahan terhadap PCB tersebut.

"Perkara ini juga pernah dicadangkan dalam pembentangan Bajet 2014 kerana kerajaan mahu mengurangkan bebanan pekerja dan tidak mahu timbulkan kekeliruan di kalangan pembayar cukai," katanya ketika dihubungi mStar Online baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya ada pembayar cukai yang merasakan PCB mereka terlebih bayar, mereka perlu mengisi borang cukai secara manual atau menggunakan perkhidmatan e-Filing sebelum atau pada 30 April ini.

"Bagi yang sudah terima borang cukai mereka bolehlah hantar borang lengkap kepada LHDN. Tarikh akhir untuk hantar borang BE 2014 secara manual pada 30 April ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Masrun berkata, sekiranya LHDN tidak menerima borang cukai mereka selepas tarikh ditetapkan maka pembayar cukai dianggap berpuas hati dengan PCB tersebut.

"Kita akan anggap mereka berpuas hati dengan PCB tersebut dan tuntutan bayaran cukai terlebih bayar tidak akan dipulangkan," katanya.

Bagaimanapun, Masrun berkata, jika ada pembayar cukai yang masih tidak berpuas hati dengan PCB selepas tarikh akhir, mereka masih boleh menghantar borang cukai untuk membolehkan tuntutan semula.

"Katakanlah kalau tiba-tiba pembayar cukai ubah fikiran, apabila teliti semula mereka rasakan ada cukai terlebih bayar, mereka masih boleh kemuka borang cukai menerusi dua kaedah yang ditawarkan.

"Namun, jika pembayar cukai memilih untuk menghantar borang tersebut secara manual mereka akan dikenakan penalti kerana borang dianggap lewat diterima untuk pemprosesan tuntutan," katanya.

Jelasnya, sekiranya pembayar cukai adalah pengguna sistem e-Filing mereka mempunyai tempoh tambahan selama 15 dari tarikh akhir untuk berbuat demikian.

"Pengguna sistem e-Filing boleh menghantar borang cukai mereka bermula 1 Mac depan. Mereka juga ada tambahan masa 15 hari dari tarikh akhir untuk kemukakan borang tersebut," katanya.

Ditanya mengenai kaedah yang digunapakai sebelum ini, Masrun berkata, setiap majikan diwajibkan membuat PCB ke atas pekerja yang layak dan pekerja (pembayar cukai) pada masa sama masih perlu mengemukakan borang cukai mereka.

"Walaupun PCB mereka telah dipotong, borang cukai masih perlu dikemukakan. Jadi kita terima rungutan berhubung perkara ini. Kaedah ini diharap dapat menyenangkan mereka," katanya.

Beliau berkata, kaedah PCB sebagai cukai muktamad ini akan digunapakai terhadap individu makan gaji dan tafsiran cukai dibuat secara berasingan bagi individu yang telah berkahwin.

Berikutan sistem baharu ini, katanya, sasaran penggunaan e-Filing bagi individu makan gaji dijangka merosot pada tahun ini.

"Kami meletakkan sasaran tiga juta e-Filing pelbagai borang nyata diterima pada tahun ini tapi akan berlaku kemerosotan bagi E-Filing individu makan gaji kerana pelaksanaan sistem baharu ini bermula 1 Mac ini," katanya.






Tags / Kata Kunci: LHDN , PCB , cukai muktamad

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan