Krisis MIC: Palanivel Jumpa PM Minggu Depan

Diterbitkan: Ahad, 15 Februari 2015 3:22 PM

(Ubah saiz teks)

CAMERON HIGHLANDS: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mengesahkan akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung krisis parti itu minggu depan.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata perjumpaan tersebut akan diadakan secara tertutup membabitkan beliau dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, bagi menyelesaikan kemelut parti itu.

"Saya tidak akan komen apa-apa lagi sekarang...tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper bersempena Tahun Baharu Cina kepada ketua bahagian MCA dan Gerakan di Casa De Le Rosa di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang akan memanggil kedua-dua pemimpin MIC itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan terkini krisis parti berkenaan.

Ini merupakan kali kedua Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), memanggil mereka selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin pada awal bulan ini.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas (Pendaftar Pertubuhan) RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.

Melalui surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MIC perlu mengadakan semula pemilihan bagi semua jawatan, termasuk peringkat cawangan dan bahagian, bermula April hingga Julai ini bagi mengelak pembatalan pendaftaran parti itu.

Ahmad Zahid berkata RoS membuat keputusan itu bagi memastikan isu pertikaian dalam pemilihan barisan kepimpinan MIC dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Semalam, Palanivel meminta RoS menarik balik surat yang dihantar kepada MIC sejak krisis parti itu bermula dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap badan berkenaan jika gagal berbuat demikian.

Tags / Kata Kunci: MIC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan