Perlis Negeri Bandar Raya Menjelang 2030

Diterbitkan: Sabtu, 14 Februari 2015 2:58 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Setelah menempuh era Perlis Negeri Maju 2015,  Kerajaan Negeri Perlis kini menumpukan perhatian untuk menjadikan Perlis Negeri Bandar Raya menjelang tahun 2030.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata usaha untuk memenuhi sasaran Perlis Negeri Maju 2015 bagaimanapun akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung ke-12 Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Seriab dekat sini, Sabtu.

Katanya kerajaan negeri telah mengenal pasti empat zon pertumbuhan untuk dibangunkan sehingga tahun 2030 iaitu Padang Besar, Kangar, Kuala Perlis dan Kuala Sanglang/Kuala Sungai Baru.

Pembangunan bagi mencapai wawasan negeri bandar raya turut melibatkan kerja-kerja pembangunan Sungai Perlis dari Kuala Perlis ke bandar Kangar untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancong, kata Azlan.

"Semua projek ini memerlukan perbelanjaan hampir RM1 bilion dan ia hanya boleh menjadi kenyataan dengan sokongan kerajaan pusat," tambahnya.

Azlan berkata penyertaan pihak swasta sebagai peneraju projek itu sangat penting dan kerajaan negeri akan bertindak sebagai pemudah cara.

Katanya banyak pelabur tempatan dan luar negara menunjukkan minat untuk melabur dalam projek itu tetapi mereka mahu kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, sistem kumbahan, perhubungan dan landasan keretapi disediakan terlebih dahulu.

"Jika infrastruktur asas dapat disediakan, saya menjangka kita akan menerima pelaburan lebih RM4 bilion dalam empat zon tersebut dan sekaligus menafikan bahawa kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa untuk membangunkan Perlis," katanya.

Mengenai Mubarak Perlis, beliau berkata majlis itu membantu kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat mengenai usaha-usaha yang sedang dilakukan bagi membangunkan negeri ini termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

Yang Dipertua Mubarak Perlis, Datuk Selamat Saad memberi jaminan majlis itu akan terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri terutama mempertahankan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Sempena majlis itu Azlan menyampaikan 100 buah buku 'Seratus Wira Negara' karya Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman kepada wakil Jabatan Pendidikan Perlis, Sabri Ismail untuk diagihkan kepada 100 buah sekolah di negeri ini.

Tags / Kata Kunci: Perlis , Kangar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan