BN Sarawak Sedia Hadapi PRN

Diterbitkan: Jumaat, 13 Februari 2015 3:59 PM

Muhyiddin bersalaman dengan tetamu yang hadir ke majlis bersama rakyat di Dewan Sivik Bau pada Jumaat. -ZULAZHAR SHEBLEE/ TheStar

(Ubah saiz teks)

BAU: Barisan Nasional (BN) Sarawak bersedia menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata BN negeri sentiasa dalam keadaan siap siaga dan aktif menangani isu-isu yang dihadapi rakyat negeri ini.

Katanya kerajaan BN sentiasa memberi tumpuan kepada rakyat dan berjuang untuk kebajikan mereka seperti yang dilakukannya dalam menghadapi banjir baru-baru ini.

"Ia sentiasa menjadi dasar BN untuk membantu rakyat miskin," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN semasa menjawab soalan media mengenai persiapan menghadapi pilihan raya negeri, pada majlis bersama rakyat di Dewan Sivik Bau di sini, Jumaat.

Menurutnya beliau berpuas hati dengan semua inisiatif yang diambil oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, sama ada pentadbirannya atau  politik.

"Saya melihat sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan BN negeri menjadi semakin kukuh dan lebih baik," kata beliau.

Ditanya mengenai hasrat Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat (Teras) menyertai BN Sarawak, Muhyiddin berkata perkara itu akan diputuskan bila tiba masa yang sesuai.

Adenan pula berkata UPP dan Teras sentiasa menyokong BN "dan ini yang penting...kita boleh berunding (mengenainya)".

UPP dibentuk oleh bekas timbalan setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sri Wong Soon Koh berikutan krisis kepimpinan dalam SUPP.

Teras pula diketuai oleh bekas presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan, yang juga menghadapi masalah dalam SPDP.

Kedua-duanya adalah menteri kanan Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata ekonomi Sarawak kini semakin  kukuh dengan pelbagai inisiatif kerajaan untuk memperluas pangkalannya dan menarik lebih ramai pelabur asing.

"Apabila ekonomi Sarawak kukuh, ia akan menyumbang secara positif kepada  ekonomi negara," katanya.

Menurutnya lebih RM24 bilion pelaburan asing diperoleh di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, yang merupakan sebahagian daripada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Ini menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Kini, semakin banyak kawasan perindustrian baharu diwujudkan.

"Selain itu, tumpuan diberikan kepada usaha membangunkan industri berskala sederhana kecil bagi membantu masyarakat meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat bahawa kestabilan politik dan perpaduan  adalah kunci kepada mengekalkan pertumbuhan dan perluasan ekonomi.

Mengenai banjir di Sarawak, beliau berkata seramai 14,996 orang dari 4,000 keluarga telah dipindahkan semasa bencana itu.

Ini tidak termasuk 58,107 orang dari 11,027 keluarga yang terjejas tetapi enggan berpindah ke pusat-pusat pemindahan kerana mahu menjaga harta mereka.

Muhyiddin berkata walaupun ada pemotongan dalam bajet negara, kerajaan memperuntuk RM40 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara dengan membina rumah baharu atau membaiki rumah yang rosak.

Pada majlis itu, seramai 20 orang daripada 81 mangsa banjir di daerah Bau menerima bantuan RM500 daripada Muhyiddin.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan