Pihak Berkuasa Digesa Jamin Keselamatan Anwar Di Penjara

Diterbitkan: Rabu, 11 Februari 2015 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkuasa memberi jaminan keselamatan terhadap ketua pembangkang yang kini sedang menjalani hukuman lima tahun penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anak sulung Anwar yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata kebimbangan keselamatan terhadap Anwar adalah berasas, berdasarkan fakta dan pengalaman bapanya yang sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara.

"Bukan soal tak percaya atau menolak pihak berkuasa. Soalnya kita letakkan kepercayaan pada malam 20 September 1999, kita minta jaminan daripada timbalan ketua polis negara pada ketika itu dengan penuh hormat.

"Tetapi, Datuk Seri Anwar dipukul ketika sedang digari dan ditutup matanya. Apakah yang kamu rasa? Adakah kamu akan merasa sangat yakin?," katanya pada sidang media kempen 'March To Freedom' di kediaman keluarganya di Segambut Dalam, di sini, Rabu.

Ahli Parlimen Lembah Pantau itu berkata, pihak keluarga membuat dakwaan tersebut berdasarkan fakta dan dokumentasi.

"Kita tak pernah mendakwa di luar lingkungan, hanya menyatakan berikanlah sedikit jaminan kepada kami supaya kami merasa yakin.

"Selalu yang kita sebut itu berpandukan fakta dan dokumentasi, tolong fahamkannya," katanya.

Anak kedua Anwar, Nurul Nuha turut mengimbas kembali tentang bapanya yang didakwa telah diracuni arsenik ketika menjalani hukuman di penjara.

Pengasas kempen March To Freedom itu mendakwa, perkara itu diketahui melalui sampel air kencing Anwar yang dihantar untuk ujian ke Australia dan disahkan mengandungi arsenik tetapi dinafikan oleh pihak penjara Sungai Buloh.

Sementara itu anak-anak Anwar turut berkongsi tentang malam pertama mereka tanpa seorang ketua keluarga.

Nurul Nuha berkata, ia telah membawa mereka untuk sekali lagi menempuh memori pahit yang pernah dipikul sebelum ini, tetapi perjuangan menuntut keadilan tetap akan diteruskan.

"Jujur saya katakan kami tak tidur malam semalam. Kami fikir tentang dia, adakah dia selesa, berapa banyak lipas yang ada di sana tetapi doa kami tetap bersamanya," katanya.

Beliau berkata, adik lelakinya juga pulang ke Malaysia dari luar negara untuk bersama keluarga dan mereka mengadakan perbincangan tentang kempen March To Freedom.

Nurul Ilham, anak keempat dari enam adik-beradik pula menceritakan saat-saat terakhir sebelum bapanya dibawa ke penjara Sungai Buloh, Selasa.

"Tak banyak yang dikatakannya, dia hanya minta kami jaga diri.

"Saat-saat ketika kami perlu mengucapkan selamat tinggal kepadanya, ia hanya membawa saya kepada memori 1998 di mana ketika itu saya berusia 11 tahun.

"Dia memberitahu saya supaya terus tabah dan jangan menangis. Bukan dia tak bagi saya tunjukkan perasaan sedih saya, cuma mahu saya tunjukkan ketabahan kepada 'mereka' bahawa mereka tak mampu 'menundukkan' kami dan kami sebenarnya tidak 'ditundukkan'," katanya sambil menambah mesej itu akan sentiasa diingatinya.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , Liwat , Penjara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan