Azmin Pertikai Kenyataan Kerajaan Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 10 Februari 2015 5:18 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan sedang berlangsung pagi Selasa.

Menteri Besar Selangor itu juga menuduh wujud campur tangan pihak PMO terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun di atas kesalahan meliwat.

"Belum lagi hukuman dijatuhkan, Pejabat Perdana Menteri telah keluar kenyataan terhadap kes liwat Anwar.

"Perkara ini menunjukkan ada perancangan rapi antara Perdana Menteri dan badan kehakiman negara berhubung prosiding ini. Ini cukup memalukan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Mahkamah Persekutuan di sini, Selasa.

Tuduhan Azmin itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan  Kerajaan Malaysia yang antaranya menyebut Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas dan laporan polis terhadap Anwar dibuat seorang individu secara peribadi serta tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.

Kenyataan itu berkaitan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa hari ini terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kenyataan itu dilihat sebagai respons kepada kenyataan pemimpin pembangkang bahawa kes berkenaan bermotifkan politik.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan