PAS Kelantan Terus Rancangan Pinda RUU Kanun Jenayah Syariah

Diterbitkan: Selasa, 10 Februari 2015 7:38 AM

Nik Amar Nik Abdullah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS Kelantan akan meneruskan rancangannya untuk meminda Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) bulan depan walaupun keputusan Pakatan Rakyat pada Ahad berhubung perkara itu ditangguhkan sementara menunggu kata putus daripada mesyuarat khas yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan bersidang pada 16 Mac ini dan PAS di sini akan meneruskan rancangan untuk meminda Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah," kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Amar Nik Abdullah kepada The Star ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, tarikh sebenar untuk membentangkan cadangan pindaan rang undang-undang itu hanya akan diketahui selepas Speaker menetapkan agenda DUN itu.

Ketika ditanya sekiranya PAS Kelantan akan menangguhkan rancangannya sementara menunggu keputusan mesyuarat khas Pakatan, Nik Amar berkata tiada keperluan untuk itu kerana ia tidak melibatkan pelaksanaan hudud pada masa ini.

"Pindaan terhadap enakmen syariah di negeri ini terletak kepada PAS Kelantan untuk diputuskan.

"Perbincangan oleh kepimpinan Pakatan terhadap pelaksanaan hudud adalah perkara berasingan," katanya.

Nik Amar yang mengetuai jawatankuasa teknikal negeri mengenai hudud berkata PAS Kelantan akan turut berusaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bulan depan bergantung kepada hasil mesyuarat khas yang akan diadakan dalam masa sebulan.

"Kami akan cuba untuk membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen pada sesi akan datang sekiranya ada masa.

"Jika tidak, kami akan berbuat demikian pada sesi berikutnya pada pertengahan tahun ini," katanya.

Pada Ahad, Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat memutuskan untuk menangguhkan perbincangan mengenai hudud selepas ketiga-tiga parti bersetuju untuk membincangkan perkara itu di dalam konvensyen Pakatan pada 10 Mei ini.

Nik Amar yang hadir pada mesyuarat tertutup Pakatan memberitahu majlis kepimpinan tersebut bahawa PAS Kelantan masih dalam proses menyediakan draf pindaan rang undang-undang berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, PAS Kelantan perlu membentangkan pindaan rang undang-undang tersebut di mesyuarat khas sebelum ia dibentangkan di persidangan DUN Kelantan.

"Ia adalah jelas daripada keputusan majlis bahawa PAS Kelantan tidak perlu meneruskan pindaan tersebut sehingga mereka menghantar draf berkenaan di mesyuarat khas untuk diputuskan," katanya.

Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Gobind Singh Deo menyuarakan sentimen sama dengan menyatakan sebarang usaha oleh PAS Kelantan untuk meneruskan pindaan tersebut akan menjadikan keputusan Pakatan sebagai 'tidak masuk akal'.

"Kami (DAP) sendiri menyatakan dengan jelas bahawa PAS perlu berpegang kepada dasar bersama yang tidak melibatkan hudud.

"Apa sahaja yang tidak berkaitan dasar bersama tidak boleh dilakukan melainkan terdapat kata sepakat di kalangan semua pihak dalam Pakatan," katanya.

Selain bersetuju untuk tidak membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bulan depan, Gobind berkata PAS Kelantan juga tidak dibenarkan membuat pindaan terhadap enakmen syariah negeri itu sementara menunggu keputusan mesyuarat khas tersebut.

Naib Presiden PKR, Tian Chua mempunyai pendapat berbeza berhubung isu itu dengan berkata cadangan pindaan terhadap enakmen syariah tersebut adalah hak PAS Kelantan.

"Sebenarnya, pindaan ini adalah urusan negeri. Jika pindaan dilakukan, kepimpinan Pakatan kemudiannya perlu mengkaji pindaan tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya," kata Tian Chua.

PAS Kelantan sedang berusaha untuk mengenakan hukuman sebatan rotan di bawah hudud bagi enam kesalahan jenayah utama, termasuk murtad, berzina, pengambilan alkohol, memfitnah perbuatan zina, mencuri dan merompak dan qisas yang merangkumi pembunuhan dan menyebabkan kecederaan.

Di bawah undang-undang hudud, yang diluluskan pada tahun 1993, mereka yang didapati bersalah melakukan zina boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau disebat enam kali, atau kedua-duanya.

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) memerlukan sokongan majoriti di Parlimen bagi membolehkan Pas melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.


Tags / Kata Kunci: Nik Amar Nik Abdullah , PAS Kelantan , DAP

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan