MB Kesal Pembinaan Pusat Konvensyen Ipoh Tidak Berjalan Ikut Jadual

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 11:41 PM

Dr Zambry (kanan) mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Pusat Konvensyen Ipoh pada Isnin. Pusat konvensyen itu dijangka siap April depan. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kesal atas kelewatan projek pembinaan Pusat Konvensyen Ipoh, yang sepatutnya siap dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
 

Beliau berkata masalah teknikal antara pemaju dan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) perlu diselesaikan mengikut perjanjian kerana projek itu amat penting dalam usaha memajukan negeri Perak.
 
"Pusat konvensyen ini merupakan satu daripada mercu tanda negeri dan daripada apa yang kita rancang untuk menjadikan Perak sebagai pusat mengadakan konvensyen serta pameran yang bersifat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.
 
Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan pusat itu di sini Isnin.

Pusat konvensyen yang menelan kos RM37 juta itu, mula dibina pada Disember 2012 dan dijangka siap April ini. 

Zambry berkata pihaknya dimaklumkan projek itu kini hampir 50 peratus siap dan pembinaannya dijangka selesai penghujung tahun ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan beliau sudah memaklumkan kedua-dua pihak agar menyelesaikan segera sebarang masalah.

"Masalah yang wujud bukan alasan untuk mereka menggagal atau melambatkan projek ini. Mereka sepatutnya berbincang untuk menyelesaikan masalah, bukan menuding jari antara satu sama lain.

"Saya sudah mengarahkan mereka (untuk berbuat demikian) kerana tidak mahu projek ini lambat siap dan mereka memaklumkan akan menambah baik perkara ini bagi mengelak masalah berulang," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan