Pertemuan Dengan Pemborong, Pembekal & Pengeluar Selasa Ini - Hasan

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 8:11 PM

Hasan Malek.

(Ubah saiz teks)

KUALA PILAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan pertemuan dengan pemborong, pembekal dan pengeluar pada Selasa ini bagi membincangkan isu penurunan harga barang.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sebanyak 50 syarikat besar termasuk pasar raya dan pasar raya gedung akan menghadiri pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas mereka terhadap isu berkenaan.

"Pada perjumpaan itu, saya akan memberi gambaran sebenar mengenai harga barang pada masa ini. Ada kalanya rakyat menerima persepsi yang tidak betul.

"Ketika harga minyak naik, apa barangan yang naik harga dan apa pula yang turun, jadi saya akan berikan situasi di seluruh negara berdasarkan kepada sektor tertentu seperti makanan, pakaian dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin masyarakat Parlimen Kuala Pilah di sini, Ahad.

Hasan berkata, KPDNKK sering mengadakan pertemuan dengan syarikat besar tetapi untuk kali ini, ia akan lebih memberi fokus kepada pengurangan harga barangan susulan penurunan harga minyak.

"Kita juga akan membincangkan mengenai persiapan dan kaedah ke arah penurunan harga barangan ini... kita mahu wujudkan suasana harmoni antara pengguna dan peniaga," katanya.

Tags / Kata Kunci: KPDNKK , Hasan Malek

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan