Selangor Tak Cadang Wujud Peraturan Bubar Perkahwinan Untuk Tukar Agama

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 9:23 PM

Azmin Ali.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak bercadang mewujudkan peraturan baharu memerlukan individu bukan Islam membubarkan perkahwinan terdahulu sebelum mendaftar sebagai mualaf seperti yang dibuat pentadbiran Negeri Sembilan baru-baru ini. 

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan tersebut bukan mudah malah memerlukan perbincangan khusus dengan semua pihak terlibat termasuk mengambil kira pandangan ahli akademik dan ilmuan agama. 

Ketika diminta mengulas bahawa para ilmuan mengatakan tindakan kerajaan Negeri Sembilan dianggap permulaan langkah yang baik, Azmin berkata pihaknya masih belum menerima sebarang cadangan sama. 

"Tidak semudah itu untuk membuat sebarang peraturan baharu dan buat masa sekarang, Selangor tiada cadangan seumpamanya kerana ia memerlukan perbincangan yang sangat teliti," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Jumaat lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor menyatakan satu peraturan baharu akan diperkenalkan di negeri itu yang memerlukan mana-mana individu bukan Islam membubarkan perkahwinannya sebelum memeluk agama Islam. 

Menurut Mohamad, perkara tersebut adalah antara cadangan peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan berkaitan mualaf dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pendapat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang membantah cadangan melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam, Azmin berkata sentimen kaum dan agama tidak sepatutnya cuba ditimbulkan.

Katanya, pihaknya akan meneliti pandangan rakyat dari semua agama berhubung isu serta larangan tersebut.

Baru-baru ini, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh dilapor tidak bersetuju dengan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti mana yang akan dikuatkuasakan di Melaka. 

Yeoh berkata, penjualan minuman keras itu bukan perkara serius yang perlu dibangkitkan sebaliknya mana-mana kerajaan negeri sepatutnya lebih menumpukan kepada langkah mencegah wabak denggi, pembangunan ataupun projek mitigasi banjir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan