SOP Imigresen Perlu Dilihat Semula, Elak Ketirisan Hasil

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 2:41 PM

Mustafar Ali

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) Imigresen  antara lain perlu dilihat semula bagi mengelak isu ketirisan hasil dan integriti pegawai mereka terus dipersoal masyarakat.

Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata, dalam perkara ini pihaknya sedia bekerjasama bagi memperkukuh SOP mereka, termasuk dalam membuat pemantauan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan selain SOP, nilai-nilai murni dan integriti pegawai juga perlu diberi keutamaan.

"Bila kita cakap pasal perkara ini, kadang-kadang SOP itu dah mantap, tetapi nilai murni integriti pegawai sendiri, apa perlu dibuat?

"Dalam perkara ini kita perlu perkukuhkan elemen integriti individu dan sistemnya. Bila dua ini bergabung akan nampak kesepaduan antara tindakan dan pelaksanaan, jika ini dilakukan, kita yakin perkara-perkara seperti ini tidak boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) antara SPRM dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Mustafar berkata demikian ketika diminta mengulas tangkapan tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah di Sabah dipercayai menjual ratusan Pas Lawatan Sosial kepada warga asing.

Terdahulu sebanyak 200 warga kerja PWTC melafazkan CIP diketuai Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah Jaafar.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata lebih 500 syarikat korporat telah menandatangani CIP sehingga kini.

"Kita tak letakkan target, tapi apa yang lebih penting kita harapkan ialah syarikat-syarikat ini pegang kepada kesemua 10 inisiatif CIP," katanya.


Tags / Kata Kunci: SOP Imigresen , SPRM , rasuah , Mustafar Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan