MH17: Kerajaan Pantau Agihan Pampasan, Masalah Waris

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 5:01 PM

Datuk Seri Liow Tiong Lai

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap sebarang masalah yang dihadapi waris dan ahli keluarga mangsa susulan nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mana-mana waris penumpang dan anak kapal penerbangan tersebut yang tidak berpuas hati atau ingin membangkitkan sesuatu isu berkaitan insiden tersebut masih boleh berbuat demikian.

"Sekiranya terdapat apa-apa lagi yang mereka tidak dipersetujui, ia boleh dibangkitkan.

"Sebagai kerajaan kita akan memantau perkembangan isu ini," katanya selepas merasmikan program Pasarnita di Pasar Seni di sini, Jumaat.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika terdapat sebarang isu atau keraguan mengenai bayaran pampasan, waris penumpang dan anak kapal MH17 boleh menghubungi MAS yang bertanggungjawab memproses bayaran tersebut.

"Berhubung pampasan MH17 kita semua sedia maklum bahawa waris boleh menghubungi MAS kerana dari segi bayaran pampasan ia perlu melalui 'satu proses'.

"Saya yakin MAS bersedia berunding dan boleh mencari satu kata sepakat yang boleh dipersetujui oleh semua pihak," katanya.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan sekumpulan besar waris kru MH17 mengadakan pertemuan dengan peguam terkemuka dari Australia bagi mendengar taklimat dan pandangan beliau mengenai nahas dan tuntutan yang boleh dibuat mengikut undang-undang.

Susulan laporan tersebut, beberapa waris mendedahkan bahawa kebanyakan daripada mereka mengakui sedang dalam proses mendapatkan khidmat guaman antarabangsa bagi menuntut keadilan terhadap orang tersayang dan memastikan mereka mendapat hak sewajarnya.

Selain mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, wang pampasan yang ditawarkan oleh MAS juga menjadi salah satu isu apabila ia didakwa diagihkan tidak sama rata dan klausa-klausa perjanjian yang mengelirukan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan