Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak Bebas Tol - Fadillah

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 5:09 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan bersetuju laluan Lebuh Raya Pan Borneo (bahagian negeri Sarawak) dikecualikan daripada sebarang bayaran tol, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bagaimanapun Fadillah berkata untuk bahagian negeri Sabah bayaran mengenai tol itu masih belum dimuktamadkan kerana kerajaan masih di peringkat rundingan dengan pihak syarikat konsesi.

Mengenai pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, beliau berkata ia akan dilaksanakan menggunakan kaedah baharu walapun kaedah lama masih diteruskan bagi pembinaan 22 lagi laluan memotong menggunakan peruntukan sedia ada.

"Laluan memotong berkenaan akan mula dilaksanakan Mac depan dan dijangka siap Disember tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Jambatan Batang Samarahan di sini, Jumaat oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Beliau berkata keseluruhan 95 laluan memotong dirancang di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo di sebelah negeri Sarawak sahaja dengan 45 dilaksanakan dengan peruntukan kerajaan manakala selebihnya akan diambil alih melalui kaedah gabungan swasta dan kerajaan.

Menurut Fadillah lagi, pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo itu akan bermula penghujung 30 Mac nanti dan dijangka siap sepenuhnya pada 2022 dengan angggaran kos RM14.5 bilion dengan sebahagian besar dibiayai pihak swasta.

Mengulas kejadian struktur bumbung runtuh di pintu masuk sebuah kompleks beli-belah yang masih dalam pembinaan di KK Times Square, Kota Kinabalu yang mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan dua yang lain baru-baru ini, Fadillah berkata siasatan masih dijalankan.

Katanya siasatan awal mendapati kontraktor utama dan subkontraktor projek swasta itu berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Katanya, CIDB akan akan memanggil kontraktor utama untuk disoal mengapa mereka tidak menggaji pekerja yang berdaftar dengan CIDB dan jika didapati bersalah lesen mereka boleh digantung.

Sementara itu mengenai cadangan pembinaan jejantas di pintu masuk ke kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, beliau berkata tender projek akan dibuka Feb ini dan pembinaan dijangka bermula Mac tahun ini dengan kos RM3.5 juta.


Fadillah berkata pembinaan jejantas itu amat diperlukan bagi mengelak kemalangan daripada berulang di kawasan berkenaan yang menjadi laluan melintas oleh pelajar Unimas setiap hari.

Mengulas isu lain, beliau berkata menurut kajian CIDB sebahagian bahan binaan merekodkan kenaikan harga sebanyak 10 peratus, terutama bahan yang diimport berikutan kejatuhan nilai mata wang ringgit.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan