Datum Jelatek: Penunjuk Perasaan Mahu Pendengaran Awam Diadakan

Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2015 8:52 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Badan Bertindak Datum Jelatek akan memberi tekanan kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan sesi pendengaran awam berhubung pembinaan projek kondominium mewah tersebut.

Pengerusinya, Salleh Samad berkata beliau akan mencari jalan supaya Selangor mengadakan pendengaran melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).


"Saya akan meneruskan kempen saya secara sah dengan membawa dua peguam bertemu Menteri Besar Selangor Azmin Ali bagi bercakap tentang projek itu.

"Saya mahu tahu apa yang Azmin mahu katakan mengenainya. Adakah beliau akan mengkaji semula, membatalkan atau meneruskan projek ini?

"Speaker Selangor Hannah Yeoh berkata ia bukan satu perkara melibatkan negeri dan ia adalah di bawah bidang kuasa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Beliau perlu ingat bahawa Azmin adalah Pengerusi PKNS dan bagi kami, ini adalah perkara negeri, " kata Salleh kepada The Star Online, Khamis.

Katanya, beliau sedang memuktamadkan butiran dengan peguamnya dan berharap ia akan dapat dilakukan dalam masa seminggu. Salleh menambah, beliau mahu Azmin bertemu rakyat dan telus mengenai isu itu.

Bulan lalu, Azmin berkata beliau telah bertemu dengan penduduk di kawasan itu dan berkata mereka positif tentang projek itu dan kerajaan negeri akan meneruskannya.

Pada 25 Januari, beratus-ratus orang memprotes pembinaan kondominium mewah Datum Jelatek di Keramat.

Mereka didakwa memecah masuk ke tapak pembinaan projek dan memecahkan pagar zink di sekitar tapak projek.

Para penunjuk perasaan mendakwa projek itu tidak akan memberi faedah kepada orang Melayu, kerana kebanyakan tidak mampu membeli kondominium itu.

Menurut PKNS, sebanyak 1,097 pembeli bumiputera yang berpotensi telah menyatakan minat mereka terhadap 674 unit kondominium Datum Jelatek, menafikan dakwaan bahawa orang Melayu tidak mampu membeli unit mewah.

Pengurus besarnya, Azlan Md Alifiah dalam satu kenyataan minggu lepas berkata minat yang ditunjukkan bumiputra dalam projek ini telah melebihi jangkaan.
Tags / Kata Kunci: Selcat , Datum Jelatek , Salleh Samad , PKNS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan