Jokowi Mulakan Lawatan Negara Sulung Tiga Hari Ke Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2015 6:00 PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Joko Widodo semasa majlis sambutan rasmi sempena lawatan negara Presiden Indonesia itu di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis. Malaysia merupakan destinasi pertama bagi lawatan negara Presiden Republik Indonesia yang mesra disapa 'Jokowi' itu selepas mengambil alih tampuk pimpinan republik itu Oktober lepas. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Malaysia menghamparkan permaidani merah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis untuk menyambut presiden Indonesia Joko Widodo, yang memulakan lawatan negara sulung ke Malaysia.

Ketika pesawat rasmi presiden mendarat pada 3.50 petang, presiden Indonesia itu yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi, dan isteri, Iriana disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut sama menyambut Jokowi dan delegasi ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut hadir para menteri kabinet, duta-duta dan kenamaan asing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahamad Zahid Hamidi ialah menteri pengiring.

Jokowi diberi sambutan rasmi apabila lagu kebangsaan Malaysia dan Indonesia dimainkan diikuti dengan tembakan meriam 21 das.

Jokowi kemudiannya memeriksa barisan kehormatan terdiri daripada 104 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohd Herdi Ismail.

Presiden Indonesia itu diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet Malaysia dan bersalaman dengan orang kenamaan asing yang berdiri di sepanjang permaidani merah.

Lawatan Jokowi, yang dilantik sebagai presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lepas, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. 

Beliau membawa bersamanya menteri-menteri utama kabinet dalam delegasinya termasuk Menteri Hal Ehwal Luar, Retno Marsudi; Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi Sofyan Djalil; Menteri Perdagangan Rachmat Gobel dan Menteri Tenaga Kerja M. Hanif Dhakiri.

Jokowi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah diikuti dengan majlis jamuan negara di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pada Jumaat, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Najib di Putrajaya.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor juga akan menjadi hos pada majlis makan tengah hari rasmi untuk meraikan Jokowi, isterinya dan delegasi di Seri Perdana di Putrajaya.

Jokowi akan melawat kilang Proton bagi meninjau peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang automotif.
Beliau akan berlepas ke Brunei pada Sabtu.

Pada Khamis, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata lawatan negara presiden Indonesia itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji kemajuan dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Indonesia ialah rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia di peringkat global, dan ketiga terbesar di kalangan negara anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM61.1 bilion (AS$19.4 bilion) pada 2013 dan RM54.7 bilion (AS$16.9 bilion) bagi tempoh Januari hingga November 2014.

Tags / Kata Kunci: Joko Widodo , Iriana , lawatan negara

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan